Tidak dinafikan lagi perubahan gaya hidup dan keutamaan pengguna juga memberi kesan kepada peniaga kecil. Gambar kecil: Wan Nursyafika (atas) dan Jaharudin (bawah).
Tidak dinafikan lagi perubahan gaya hidup dan keutamaan pengguna juga memberi kesan kepada peniaga kecil. Gambar kecil: Wan Nursyafika (atas) dan Jaharudin (bawah).

Solusi, masa depan peniaga kecil dalam ekonomi Malaysia

12 Dec 2024 11:30am

Peniaga kecil memainkan peranan penting dalam menjana ekonomi negara. Mereka bukan sahaja menyediakan peluang pekerjaan tetapi juga menjadi penggerak utama dalam memperkasa ekonomi komuniti setempat.

Namun, dalam situasi ekonomi semasa yang penuh ketidaktentuan, peniaga kecil di Malaysia menghadapi pelbagai cabaran yang mengancam kelangsungan perniagaan mereka.

Artikel ini akan mengupas cabaran utama yang dihadapi oleh golongan ini, termasuk kenaikan kos operasi, persaingan sengit, perubahan trend pengguna dan cabaran digitalisasi.

Salah satu cabaran utama yang membelenggu peniaga kecil adalah kenaikan kos operasi yang melibatkan sewa premis, utiliti dan bahan mentah.

Dengan inflasi yang tidak menentu, harga bahan mentah seperti makanan, pakaian dan barangan asas meningkat mendadak.

Keadaan ini menyebabkan margin keuntungan peniaga kecil menjadi semakin nipis. Sebagai contoh, peniaga makanan di gerai atau pasar malam terpaksa menaikkan harga makanan akibat kos bahan mentah yang melambung tinggi.

Namun, tindakan ini sering kali menyebabkan pelanggan berkurangan kerana kuasa beli rakyat juga semakin terjejas.

Fenomena ini mewujudkan dilema bagi peniaga kecil yang perlu mengekalkan harga yang kompetitif sambil memastikan perniagaan mereka kekal berdaya saing.

Artikel Berkaitan:

Seterusnya adalah persaingan yang semakin sengit juga merupakan cabaran besar bagi peniaga kecil.

Kehadiran rangkaian perniagaan besar, seperti pasar raya dan jenama antarabangsa, menekan peniaga kecil kerana syarikat-syarikat besar ini mampu menawarkan harga yang lebih rendah melalui ekonomi skala besar.

Tambahan pula, kemunculan platform e-dagang yang popular seperti Shopee, Lazada dan Grab menambahkan cabaran kepada peniaga kecil.

Walaupun platform ini menawarkan peluang kepada mereka untuk memasarkan produk secara dalam talian, tidak semua peniaga kecil mempunyai kemampuan atau kemahiran untuk bersaing dalam pasaran digital.

Tidak dinafikan lagi perubahan gaya hidup dan keutamaan pengguna juga memberi kesan kepada peniaga kecil.

Sebagai contoh, generasi muda kini lebih cenderung kepada produk yang diiklankan di media sosial atau yang dijual melalui platform digital.

Peniaga tradisional yang bergantung kepada kaedah perniagaan lama sukar menyesuaikan diri dengan perubahan ini.

Selain itu, pandemik COVID-19 yang melanda dunia telah mengubah tabiat pengguna secara drastik. Ramai pelanggan kini lebih memilih untuk membeli-belah secara dalam talian bagi mengurangkan risiko kesihatan.

Ini memberi tekanan kepada peniaga kecil yang tidak mempunyai keupayaan untuk menubuhkan atau menguruskan platform e-dagang mereka sendiri.

Digitalisasi juga dilihat sebagai peluang tetapi juga cabaran besar kepada peniaga kecil. Walaupun kerajaan Malaysia menggalakkan perniagaan kecil dan sederhana (PKS) untuk beralih ke arah pendigitalan melalui pelbagai insentif seperti Geran Pendigitalan PKS, masih ramai peniaga kecil yang belum memanfaatkan teknologi ini sepenuhnya.

Kekurangan pengetahuan teknikal, kekangan kewangan untuk melabur dalam infrastruktur digital dan ketidakupayaan untuk menyesuaikan diri dengan teknologi baru menjadi halangan utama.

Selain itu, sesetengah peniaga kecil di kawasan luar bandar menghadapi masalah akses kepada internet yang stabil, menyukarkan mereka untuk menyertai ekonomi digital.

Cabaran lain yang sering dihadapi oleh peniaga kecil adalah kekurangan sokongan kewangan. Bank dan institusi kewangan cenderung memberikan keutamaan kepada perniagaan besar kerana mereka dianggap kurang berisiko.

Peniaga kecil yang tidak mempunyai rekod kewangan kukuh atau cagaran sering kali menghadapi kesukaran untuk mendapatkan pinjaman.

Tambahan pula, pelaksanaan dasar kewangan seperti kenaikan kadar faedah juga memberi kesan langsung kepada mereka yang ingin meminjam untuk memperluaskan perniagaan.

Tanpa modal yang mencukupi, ramai peniaga kecil terpaksa mengehadkan pertumbuhan perniagaan mereka atau bahkan menutup operasi.

Dalam ekonomi yang berkembang pesat, inovasi menjadi kunci untuk kekal relevan. Namun, peniaga kecil sering kali tidak mempunyai sumber daya, masa atau tenaga kerja yang mencukupi untuk memperkenalkan idea atau produk baru.

Tanpa inovasi, mereka mudah tertinggal dan sukar untuk bersaing dalam pasaran yang semakin dinamik. Sebagai contoh, dalam sektor makanan dan minuman, jenama besar mampu memperkenalkan menu baru atau konsep perniagaan moden yang menarik minat pelanggan.

Sebaliknya, peniaga kecil terpaksa bergantung kepada menu atau perkhidmatan tradisional yang mungkin kurang menarik bagi pengguna muda.

Penyelesaian dan Jalan Ke Hadapan

Untuk memastikan peniaga kecil terus relevan dan mampu bersaing dalam keadaan ekonomi semasa, beberapa langkah strategik boleh diambil oleh pelbagai pihak yang berkepentingan.

Pendekatan holistik yang melibatkan kerajaan, institusi kewangan, syarikat swasta dan komuniti adalah kunci dalam menyokong peniaga kecil menghadapi cabaran mereka.

Berikut adalah cadangan terperinci untuk jalan ke hadapan.

Pertama adalah kerajaan perlu memainkan peranan lebih aktif dalam menyediakan dasar yang mesra peniaga kecil.

Langkah ini termasuk pemberian geran dan subsidi. Geran untuk pendigitalan, pembelian peralatan atau penyelidikan pasaran harus diperluaskan. Subsidi bahan mentah dan utiliti juga boleh membantu meringankan beban kos operasi.

Kedua, latihan dan pendidikan usahawan. Kerajaan boleh menganjurkan lebih banyak program latihan berkaitan pengurusan perniagaan, teknologi digital dan strategi pemasaran. Usaha ini penting untuk membekalkan peniaga kecil dengan kemahiran yang sesuai untuk berkembang dalam era moden.

Ketiga, pemudahcaraan lesen dan regulasi. Proses mendapatkan lesen dan permit perlu dipermudahkan untuk menggalakkan lebih ramai individu menceburi perniagaan kecil.

Seterusnya akses kepada sumber kewangan. Institusi kewangan perlu memperbaiki akses kepada pinjaman bagi peniaga kecil dengan menyediakan pakej yang lebih fleksibel dan mesra usahawan.

Contohnya skim pinjaman mikro dengan kadar faedah rendah atau tanpa cagaran boleh membantu peniaga kecil mendapatkan modal.

Selain itu, sokongan kredit berstruktur yang membolehkan peniaga kecil membayar balik pinjaman secara berperingkat mengikut kemampuan mereka dan program mentor kewangan supaya bank atau institusi kewangan boleh menyediakan penasihat kewangan untuk membantu peniaga kecil menguruskan kewangan mereka dengan lebih berkesan.

Keempat adalah digitalisasi dan automasi perniagaan. Peralihan ke arah ekonomi digital adalah langkah penting untuk peniaga kecil kekal berdaya saing.

Namun, peralihan ini memerlukan bantuan dan panduan seperti insentif pendigitalan. Kerajaan dan sektor swasta boleh memperkenalkan insentif untuk membantu peniaga kecil melabur dalam teknologi seperti sistem pembayaran digital, platform e-dagang dan perisian pengurusan inventori.

Pihak berkuasa tempatan dan agensi seperti SME Corp boleh menawarkan kursus intensif untuk melatih peniaga kecil menggunakan platform digital dengan cekap. Syarikat seperti Shopee dan Lazada boleh menyediakan bengkel khusus untuk membantu peniaga kecil memasarkan produk mereka secara dalam talian.

Kelima adalah galakan komuniti untuk menyokong perniagaan tempatan. Kesedaran dalam kalangan pengguna mengenai pentingnya menyokong perniagaan tempatan perlu dipupuk.

Langkah ini boleh dilakukan melalui kempen kesedaran dimana kerajaan dan NGO boleh melancarkan kempen seperti “Beli Barangan Tempatan” untuk menggalakkan rakyat membeli daripada peniaga kecil.

Selain itu, penglibatan komuniti juga memainkan peranan penting dimana acara seperti pasar malam atau bazar tempatan boleh dianjurkan secara berkala untuk memberikan peluang kepada peniaga kecil memasarkan produk mereka.

Justeru, dengan promosi media sosial juga, komuniti boleh membantu mempromosikan perniagaan kecil dengan berkongsi ulasan positif dan maklumat perniagaan di platform media sosial.

Keenam adalah inovasi dan kolaborasi. Untuk kekal relevan, peniaga kecil perlu berinovasi. Namun, usaha ini boleh disokong dengan platform r&d kolektif iaitu kerajaan atau universiti boleh menyediakan pusat penyelidikan untuk membantu peniaga kecil mencipta produk baru atau menambah baik perkhidmatan sedia ada.

Selain itu, peniaga kecil juga boleh bekerjasama dengan jenama besar untuk memanfaatkan teknologi, rangkaian pemasaran, atau logistik mereka.

Program mentor di mana peniaga berpengalaman membimbing usahawan baru boleh memupuk pertumbuhan inovasi dalam kalangan perniagaan kecil.

Ketujuh adalah infrastruktur sokongan yang lebih baik. Infrastruktur memainkan peranan penting dalam kejayaan perniagaan kecil dimana kerajaan perlu memperbanyakkan ruang perniagaan yang mampu milik seperti gerai, kios atau pasar awam.

Bukan itu sahaja, usaha meningkatkan liputan internet, khususnya di kawasan luar bandar, adalah kritikal untuk menyokong pendigitalan peniaga kecil.

Selain itu, sektor swasta boleh bekerjasama dengan peniaga kecil untuk menyediakan perkhidmatan penghantaran yang cekap dan berpatutan, khususnya untuk perniagaan dalam talian.

Akhir sekali adalah pemerkasaan peniaga wanita dan belia. Kumpulan seperti wanita dan belia mempunyai potensi besar untuk berkembang sebagai peniaga kecil.

Inisiatif khusus untuk mereka boleh melibatkan dana khas yang menyediakan geran atau pinjaman mikro khusus untuk wanita dan usahawan muda.

Selain itu juga, bengkel tentang pemasaran digital, pengurusan kewangan dan inovasi produk yang disesuaikan untuk kumpulan ini dan platform jaringan yang menghubungkan usahawan wanita dan belia dengan pelabur atau pelanggan berpotensi.

Kesimpulan

Penyelesaian kepada cabaran peniaga kecil memerlukan usaha bersepadu oleh pelbagai pihak.

Dengan pendekatan yang proaktif, inklusif, dan inovatif, peniaga kecil bukan sahaja dapat mengatasi cabaran yang mereka hadapi tetapi juga mampu berkembang sebagai penggerak utama ekonomi negara.

Tindakan segera dan kerjasama jangka panjang adalah kunci untuk memastikan sektor perniagaan kecil terus memainkan peranan penting dalam pembangunan ekonomi Malaysia.

Maklumat penulis:

1) Mahasiswa Tahun Akhir, Sarjana Muda Pengurusan (Pengajian Polisi) dengan

Kepujian, Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Pembangunan Sosial, Universiti Malaysia Terengganu, Wan Nursyafika Amylia W.Md.Ros Sanizal

2) Penyelaras Kursus Perancangan dan Pembangunan Ekonomi Malaysia (ECO4373) dan Pensyarah Kanan, Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Pembangunan Sosial, Universiti Malaysia Terengganu, Jaharudin Padli

Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp