No Image Caption

TVET dan Revolusi Industri 4.0, tenaga kerja masa depan

30 Nov 2024 11:00am

Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) membawa perubahan besar dalam landskap pekerjaan global dengan teknologi seperti automasi, kecerdasan buatan (AI), Internet of Things (IoT) dan analitik data menjadi tunjang kepada ekonomi moden.

Perubahan ini memerlukan tenaga kerja yang bukan sahaja berkemahiran tinggi tetapi juga fleksibel dan bersedia menyesuaikan diri dengan perkembangan teknologi yang pesat.

Dalam konteks ini, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) muncul sebagai penyelesaian utama untuk menyediakan modal insan yang mampu memenuhi permintaan industri.

TVET bukan sekadar pendidikan alternatif tetapi sebuah platform yang menghubungkan sistem pendidikan dengan keperluan sebenar pasaran kerja. Melalui pendekatan latihan praktikal dan kolaborasi erat dengan industri, TVET berupaya melahirkan tenaga kerja masa hadapan yang cekap, inovatif dan bersedia menghadapi cabaran IR 4.0.

Sebagai pemacu transformasi ekonomi negara, TVET kini berperanan dalam membentuk hala tuju pembangunan negara dengan menjadikan teknologi dan inovasi sebagai asas kemajuan.

Bagaimanapun, usaha bersepadu antara kerajaan, institusi pendidikan dan sektor swasta diperlukan untuk memastikan TVET mampu memenuhi aspirasi IR 4.0 serta menjadikan Malaysia sebuah negara yang bersaing di peringkat global.

TVET semakin mendapat perhatian sebagai salah satu laluan pendidikan utama di Malaysia selaras dengan usaha kerajaan untuk melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi yang relevan dengan keperluan industri moden.

Menurut data terkini, program TVET telah menunjukkan pertumbuhan yang memberangsangkan dari segi jumlah penyertaan dan kadar kejayaan graduan.

Artikel Berkaitan:

Pada tahun 2022, lebih daripada 230,000 pelajar mendaftar dalam pelbagai program TVET yang ditawarkan di institusi awam dan swasta. Program ini meliputi bidang seperti kejuruteraan, teknologi automasi, pengaturcaraan komputer dan kemahiran teknikal lain yang berkaitan dengan Revolusi Industri 4.0.

Kadar kebolehpasaran graduan TVET juga sangat memberangsangkan dengan 88 peratus graduan berjaya mendapatkan pekerjaan dalam tempoh enam bulan selepas tamat pengajian.

Sebahagian besar daripada mereka diserap ke dalam sektor penting seperti pembuatan, pembinaan, teknologi maklumat dan automasi yang menjadi tunjang kepada ekonomi negara.

Kerajaan Malaysia menyasarkan peningkatan penyertaan pelajar lepasan sekolah menengah ke program TVET kepada 55 peratus menjelang tahun 2030 sebagai sebahagian daripada usaha meningkatkan daya saing tenaga kerja tempatan di peringkat global.

Pelbagai inisiatif telah diperkenalkan termasuk insentif kewangan seperti Dana Pendidikan TVET dan biasiswa untuk pelajar berpotensi. Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) semakin diiktiraf sebagai platform utama dalam melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi sejajar dengan tuntutan Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0).

Namun, pelaksanaan di Malaysia masih berdepan pelbagai cabaran yang perlu ditangani secara tuntas agar TVET dapat memenuhi aspirasi negara untuk menjadi hab teknologi serantau.

Salah satu cabaran utama ialah persepsi masyarakat yang masih memandang TVET sebagai pilihan kedua selepas pendidikan akademik.

Ramai ibu bapa dan pelajar melihatnya sebagai kurang berprestij meskipun sektor teknikal menawarkan peluang kerjaya yang stabil dan lumayan. Persepsi ini menyebabkan ramai pelajar kurang berminat untuk menceburi program TVET mengakibatkan kekurangan penyertaan dalam kursus-kursus yang ditawarkan.

Di samping itu, institusi TVET berdepan kekurangan tenaga pengajar yang mahir dalam teknologi moden seperti automasi, kecerdasan buatan (AI) dan Internet of Things (IoT).

Kemajuan teknologi yang pesat memerlukan pengajar yang tidak hanya menguasai teori tetapi juga berpengalaman dalam aplikasi teknologi terkini. Namun, kekurangan ini menyukarkan institusi TVET untuk menyediakan latihan berkualiti tinggi.

Cabaran lain yang ketara adalah ketidaksesuaian kurikulum dengan keperluan industri moden. Tanpa penyelarasan berkala, terdapat risiko pelajar dilatih dengan kemahiran yang tidak lagi relevan, sekali gus menjadikan mereka kurang kompetitif di pasaran kerja.

Kerjasama erat dengan sektor industri amat diperlukan untuk memastikan kurikulum sentiasa terkini dan bersesuaian dengan keperluan pasaran.

Dalam aspek infrastruktur, banyak institusi TVET masih menggunakan peralatan lama yang tidak lagi sesuai dengan teknologi IR 4.0. Kekurangan dana untuk menaik taraf makmal dan kemudahan latihan menghalang pelaksanaan program berteknologi tinggi yang diperlukan untuk melatih tenaga kerja masa depan.

Selain itu, jurang digital di kalangan pelajar khususnya dari kawasan luar bandar turut menjadi halangan besar. Pelajar dari kawasan ini seringkali kurang akses kepada teknologi asas seperti komputer dan internet menjadikan mereka sukar bersaing dengan pelajar dari kawasan bandar.

Malah, kekangan pembiayaan juga menjadi isu utama. Pelaksanaan program TVET, terutama yang melibatkan teknologi tinggi memerlukan peruntukan kewangan yang besar. Walaupun kerajaan menyediakan dana jumlahnya masih tidak mencukupi untuk menampung keperluan latihan, penyelidikan dan pembangunan program baharu.

Dalam usaha memastikan TVET terus relevan dalam menyediakan tenaga kerja yang kompeten menghadapi cabaran Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0), beberapa langkah strategik perlu dilaksanakan secara bersepadu antaranya, kurikulum TVET perlu sentiasa dikemaskini agar selari dengan keperluan teknologi terkini seperti automasi, kecerdasan buatan (AI) dan Internet of Things (IoT).

Institusi TVET harus menjalin kerjasama erat dengan pihak industri untuk memastikan pelajar dilatih dengan kemahiran yang relevan dan bersesuaian dengan kehendak pasaran kerja.

Selain itu, kemahiran tenaga pengajar juga perlu ditingkatkan. Tenaga pengajar mesti diberi latihan berkala dalam bidang teknologi moden supaya dapat melatih pelajar dengan lebih berkesan. Mereka juga perlu diberi peluang untuk menjalani latihan praktikal di industri bagi memahami aplikasi sebenar teknologi terkini.

Sementara itu, infrastruktur dan peralatan di institusi TVET perlu dinaik taraf. Kemudahan seperti makmal, bengkel dan peralatan latihan harus dilengkapkan dengan teknologi canggih seperti mesin cetak 3D, robotic dan sistem automasi bagi membolehkan pelajar belajar secara hands-on menggunakan peralatan terkini.

Kerjasama dengan sektor industri juga perlu diperluas. Program perantisan, latihan industri dan penubuhan pusat kecemerlangan teknologi di institusi TVET perlu diperbanyakkan bagi memberikan pendedahan langsung kepada pelajar mengenai teknologi IR 4.0 yang digunakan dalam dunia pekerjaan. Di samping itu, elemen keusahawanan perlu diperkukuh dalam TVET.

Pelajar perlu didedahkan kepada asas keusahawanan melalui kursus khas manakala sokongan seperti geran permulaan dan inkubator perniagaan perlu disediakan bagi mereka yang ingin memulakan perniagaan dalam bidang teknikal. Namun begitu, langkah lain yang penting ialah meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan TVET dengan mengadakan kempen secara besar-besaran perlu dijalankan untuk mengubah persepsi negatif bahawa TVET hanya sesuai untuk pelajar kurang cemerlang.

Pendedahan awal di peringkat sekolah juga boleh dilakukan untuk menunjukkan peluang kerjaya yang cerah melalui laluan TVET. Bagi memastikan akses yang adil kepada semua, TVET perlu diperluas ke kawasan luar bandar. Program subsidi atau bantuan kewangan kepada pelajar yang kurang mampu boleh disediakan.

Dalam masa yang sama, platform TVET dalam talian boleh diperkenalkan untuk membolehkan pelajar belajar di mana sahaja. Oleh itu, institusi TVET perlu memperkukuh aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) untuk memastikan mereka sentiasa selangkah di hadapan dalam menghasilkan inovasi. Kerjasama dengan universiti dan industri dalam bidang penyelidikan juga amat digalakkan.

Akhir sekali, sokongan kerajaan melalui polisi yang jelas dan menyeluruh adalah penting. Insentif kepada syarikat yang menyokong program latihan TVET dan pengambilan graduan perlu diperkenalkan. Pada masa yang sama, sistem penilaian dan pensijilan TVET perlu ditambah baik agar diiktiraf di peringkat antarabangsa.

Dengan pelaksanaan langkah-langkah ini, TVET mampu menjadi tunjang kepada pembangunan ekonomi negara dan memastikan Malaysia bersedia menghadapi cabaran Revolusi Industri 4.0. Kesimpulannya, TVET memainkan peranan penting dalam menyediakan tenaga kerja berkemahiran tinggi yang mampu memenuhi keperluan Revolusi Industri 4.0.

Dengan kadar kebolehpasaran graduan yang memberangsangkan dan peningkatan penyertaan pelajar, TVET jelas menjadi platform strategik untuk melahirkan individu yang cekap dan bersedia menghadapi cabaran teknologi masa kini.

Namun, cabaran seperti persepsi masyarakat yang negatif, kekurangan infrastruktur moden dan jurang digital di kalangan pelajar perlu ditangani dengan cepat dan sistematik.

Langkah seperti menaik taraf kurikulum ini dapat memperkukuh kerjasama dengan industri dan menyediakan sokongan kewangan yang mencukupi adalah kritikal untuk memastikan keberkesanan TVET.

Dengan usaha kolektif antara kerajaan, sektor swasta dan masyarakat, TVET mampu menjadi pemangkin utama pembangunan ekonomi negara.

Melalui komitmen yang berterusan, TVET tidak hanya sekadar menyediakan tenaga kerja, tetapi juga membentuk generasi inovator yang dapat menerajui Malaysia ke arah kemajuan yang lebih lestari dan berdaya saing di peringkat global.

Maklumat Penulis

1 - Pelajar Sarjana Muda Pengurusan (Pengajian Polisi) (Kepujian) Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Siti Naziha Alazim

2 - Penyelaras Kursus Perancangan dan Pembangunan Ekonomi Malaysia UMT yang juga merupakan Pensyarah Kanan Fakulti Perniagaan dan Pembangunan Sosial UMT, Jaharudin Padli

Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp