UiTM dan Merchantrade Asia Sdn Bhd kerjasama tubuhkan pelan pengurusan kewangan digital
Universiti Teknologi Mara (UiTM), baru-baru ini mengumumkan mereka telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Merchantrade Asia Sdn Bhd.
Dengan termeterainya MoU itu, ia dapat menyediakan perkhidmatan dompet digital kepada pelajar antarabangsa dan di luar negara termasuk kakitangan serta sejuta ahli alumni universiti yang masih aktif.
Dikenali sebagai Kad Prabayar Merchantrade Money dengan dompet digital, kad tersebut dijangka memberi kemudahan kepada pelajar dan kakitangan UiTM untuk menguruskan kewangan mereka secara digital dengan lebih efektif dan lancar.
Pengasas dan Pengarah Urusan Merchantrade, Ramasamy K Veeran berkata, pihaknya sentiasa berkembang dan menerajui dalam merevolusikan industri dengan peningkatan tumpuan pada penawaran digital.
Kata beliau, melalui dompet digital tersebut pengguna dapat menikmati had gabungan kewangan yang lebih besar sehingga RM50,000.
Ujarnya, dengan saiz dompet yang lebih besar, e-Wallet akan memudahkan pelajar untuk menerima wang daripada ibu bapa mereka semasa berada di luar negara atau dari institusi luar negara.
“Merchantrade berhasrat membolehkan perkhidmatan kewangan yang inovatif melalui teknologi yang juga menjadikannya lebih selamat dan mudah untuk dibawa serta digunakan pengguna apabila ke luar negara.
“Pengurusan wang juga akan menjadi lebih mudah dengan pemindahan dari kad ke kad yang mesra pengguna serta semakan baki kad terus melalui aplikasi,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.
Sementara itu, UiTM berpendapat hasrat untuk menjadikan UiTM Universiti Terkemuka Dunia (GRU2025), ia telah membuka banyak peluang untuk menjalinkan kerjasama yang lebih erat dengan organisasi dan agensi luar.
UiTM berharap agar kerjasama yang terjalin ini akan berjalan lancar dan dapat membuahkan hasil yang positif bagi kedua-dua pihak demi manfaat kepada semua yang terlibat.