Pasukan UiTM buktikan mereka mampu mencipta kejayaan pada U-ROCK 2023.
Pasukan UiTM buktikan mereka mampu mencipta kejayaan pada U-ROCK 2023.

UiTM naib johan U-ROCK 2023

ROSHLAWATY MD RAIEH
26 Dec 2023 09:49am
A
A
A

Usaha gigih pasukan Universiti Teknologi MARA (UiTM) dalam penyelidikan robot, membuahkan hasil apabila dinobat naib johan dalam University Robot Competition: Kingdom Of Champions (U-ROCK) 2023, baru-baru ini.

Menurut kenyataan media UiTM pada Rabu, pasukan itu dianggotai tiga mahasiswa Sarjana Sains Kejuruteraan Pengurusan Penerbangan iaitu Muhammad Ashraf Zhafry Nor Azri, Mohd Fitri Reza Mohd Noor dan Muhammad Firdaus Zakaria serta diketuai penyelia dan pensyarah, Dr Mohd Hafiz Mohd Noh.

Sebanyak 20 pasukan mewakili institut pengajian tinggi (awam dan swasta), institut kemahiran, politeknik dan pusat latihan pengajar telah bersaing dan hanya empat pasukan layak ke peringkat akhir.

“Tiga teras yang dinilai dalam pertandingan ini adalah kebolehan dron melepasi kesemua halangan, pendaratan baik, penghantaran sempurna dan catatan masa terpantas,” tulis kenyataan itu.

Sementara itu, Kolej Pengajian Kejuruteraan UiTM kini dalam perancangan menjadi peneraju dalam bidang aeroangkasa dan penerbangan dengan penubuhan kumpulan penyelidikan seperti Tier-4 Flight Technology & Test (FTT) dan program akademik khusus iaitu Sarjana Sains Kejuruteraan Pengurusan Penerbangan di bawah Pengajian Kejuruteraan Mekanikal.

“Penghasilan dron yang membawa kepada kejayaan pasukan UiTM ini merupakan hasil kerjasama antara ahli kumpulan penyelidikan FTT yang terdiri daripada penyelidik dan tenaga pengajar program sarjana.

“Diharapkan kejayaan ini memberi inspirasi kepada mahasiswa, pelajar dan pemain industri dalam usaha mengembangkan lagi industri dron ke peringkat lebih tinggi,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok