
UiTM tonjol bakat kreatif menerusi pameran 'Beyond First Frame'
Program Komunikasi Media Baharu (MC249) Universiti Teknologi MARA (UiTM) terus memperkukuh peranannya dalam melahirkan bakat industri kreatif menerusi pameran Projek Tahun Akhir 'Beyond First Frame' (BFF) yang berlangsung di CMT Hub, di sini Selasa lalu.
Pameran itu menampilkan hasil kerja kreatif pelajar semester lima yang mengkhusus dalam bidang animasi dan reka bentuk permainan digital. Program tersebut bertujuan menjadi platform profesional bagi pelajar mempamerkan aplikasi konsep penceritaan visual dan integrasi teknologi terkini sebelum melangkah ke alam kerjaya.
Selain itu, inisiatif tersebut bukan sekadar tuntutan akademik, malah merupakan transisi penting pelajar ke arah memenuhi keperluan industri kreatif tempatan dan global. Selain pameran fizikal, pihak penganjur turut melancarkan galeri portfolio digital secara dalam talian untuk akses majikan berpotensi.

Pensyarah subjek, Ts Dr Mohamed Razeef Shah Mohmad Rafik berkata, pameran ini turut menjadi medium penting untuk interaksi antara pelajar, pensyarah dan wakil industri di mana idea, maklum balas profesional serta jaringan kerjasama dapat dibina.
"Beyond First Frame juga menyediakan sebuah platform digital rasmi yang menempatkan portfolio pelajar New Media Communication. Laman web ini berfungsi sebagai ruang pameran maya yang membolehkan hasil karya pelajar diakses oleh khalayak lebih luas termasuk industri, majikan berpotensi, dan komuniti kreatif global," katanya.
Menariknya, BFF ini menampilkan panel terkemuka seperti Ketua Pegawai Eksekutif di Les' Copaque Animation Academy (LCAA), Ahmad Akmal Ahmad Zaini; Pengarah dan Pengasas ICYM Studios, Abdul Khafie Abdul Rahman; Pengarah Future Creative School, Fakulti Animasi dan Multimedia ASWARA, Ts Dr Jazmi Izwan Jamal; pelakon dan pengarah tersohor, Farid Kamil Zahari dan wakil akademik dari Tianjin Academy of Fine Arts (TAFA), Zhao Jie.
Sepanjang pameran berlangsung, pengunjung berpeluang menyaksikan pelbagai projek yang menampilkan pendekatan penceritaan visual, reka bentuk karakter, mekanik permainan, serta integrasi teknologi digital terkini.
Orang ramai dan pemain industri yang ingin melihat bakat muda ini boleh melayari laman web rasmi di beyondfirstframe.com/bffnew/.
Ringkasan AI
- Program Komunikasi Media Baharu UiTM mengadakan pameran "Beyond First Frame" untuk pelajar animasi dan reka bentuk permainan digital
- Tujuan pameran adalah sebagai platform profesional untuk pelajar mempamerkan konsep penceritaan visual dan integrasi teknologi
- Program ini juga menyokong transisi pelajar ke industri kreatif dengan menyediakan galeri portfolio digital
- Pameran tersebut mempromosikan interaksi antara pelajar, pensyarah, dan wakil industri
- Beyond First Frame menyediakan platform digital untuk memperluas akses kepada industri dan komuniti kreatif global