Amirul Firdaus menunjukkan buku-buku berunsurkan warisan yang boleh didapati dalam Karnival Semarak Ilmu.
Amirul Firdaus menunjukkan buku-buku berunsurkan warisan yang boleh didapati dalam Karnival Semarak Ilmu.

UMK hasilkan terbitan warisan negeri

ADILA SHARINNI WAHIDADILA SHARINNI WAHID
24 Oct 2024 09:00am

Dalam usaha memupuk budaya membaca, Universiti Malaysia Kelantan (UMK) meningkatkan mutu penerbitan ilmiah dengan mendokumentasikan elemen warisan Kelantan yang lebih menarik perhatian.

Usaha dilaksanakan melalui Bahagian Penerbitan bawah Pejabat Perpustakaan dan Pengurusan Ilmu UMK yang sudah menghasilkan hampir 10 buku dalam bentuk fizikal mahupun digital e-book.

Timbalan Ketua Pustakawan UMK, Amirul Firdaus Zilah berkata, perkara itu berbeza daripada sebelum ini iaitu universiti lebih fokus kepada penerbitan ilmiah untuk pelajar sahaja.

“UMK mendokumentasikan segala bentuk warisan termasuk permainan, makanan dan kebudayaan tradisional yang perlu dipelihara.

“Antara yang diterbitkan ialah buku Rebana Kercing, Mak Yong, Peteri dan terbaharu Rumah Tiang 12 yang akan menarik lebih ramai orang ke arah pembacaan ilmiah kerana mudah untuk difahami selain dekat dengan mereka,” katanya selepas Perasmian Karnival Semarak Ilmu di Pasar Raya Besar Mydin, Tunjong, Kota Bharu, Kelantan pada Rabu.

Replika rumah tiang 12 yang turut dipamerkan di Karnival Semarak Ilmu.
Replika rumah tiang 12 yang turut dipamerkan di Karnival Semarak Ilmu.

Menurut beliau, penerbitan berunsur warisan itu pada masa sama dapat mengukuhkan warisan dan kebudayaan negeri Kelantan seterusnya memperkasa identiti mereka.

“Impaknya juga, kita dapat berkongsi dengan masyarakat lain bahawa Kelantan ada budaya, tempat dan warisan yamg amat berharga.

“Pelaksanaannya juga berpotensi meningkatkan taraf sosial ekonomi penduduk, pelancongan dan penerokaan bidang baru yang menggabungkan teknologi terkini dengan elemen tradisional rakyat,” ujar beliau.

Tambah beliau, UMK turut berhasrat menjadi pusat rujukan utama bukan sahaja kepada penyelidik tetapi masyakarat umum dalam membina jati diri yang kukuh sebagai rakyat Kelantan.

Dalam perkembangan sama, buku Rumah Tiang 12 hasil penulisan pemilik rumah tiang 12 di sini, Johan Ariff Ismail juga dilancarkan pada karnival berkenaan.

Karnival julung kali diadakan di luar UMK itu berlangsung selama lima hari bermula Selasa sehingga Sabtu ini bagi memberi peluang kepada orang ramai menyertainya.

Pelbagai aktiviti interaktif yang berasaskan pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) diadakan untuk membantu komuniti membangunkan kemahiran literasi asas.

Selainnya, 73 institusi terlibat antaranya melalui pameran, jualan buku dan persembahan tradisional seperti dikir barat juga diadakan.

Barisan hadirin dan peserta yang menyertai Karnival Semarak Ilmu di Pasar Raya Besar Mydin.
Barisan hadirin dan peserta yang menyertai Karnival Semarak Ilmu di Pasar Raya Besar Mydin.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp