
UMPSA lancar Confera
UMPSA Advanced Sdn Bhd (UMPSA Advanced), anak syarikat milik penuh Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) melancarkan Confera, sebuah platform digital yang dibangunkan untuk memudahkan penganjuran dan pengurusan persidangan sistematik serta acara profesional secara lebih teratur dan cekap.
Menurut UMPSA Advanced, Confera diwujudkan untuk membantu penganjur dan peserta mengurus keseluruhan proses persidangan dalam satu platform, termasuk pendaftaran peserta, pengurusan abstrak dan kertas kerja, penyusunan jadual persidangan serta penyertaan secara fizikal atau dalam talian.
"Pendekatan itu bukan sahaja memudahkan urusan penganjuran, malah menjadikan pengalaman peserta lebih lancar dan sistematik.
"Melalui penggunaan teknologi digital, Confera membantu mengurangkan kerja manual, menjimatkan masa dan kos, serta memastikan maklumat persidangan dapat disampaikan dengan lebih jelas dan pantas.
"Platform ini juga membolehkan persidangan dipromosikan kepada audiens yang lebih luas, sekali gus meningkatkan penyertaan daripada dalam dan luar negara," kata UMPSA Advanced menerusi satu kenyataan.
Selain itu, Confera juga sebagai medium untuk menghubungkan komuniti akademik, industri, agensi kerajaan dan badan profesional.
Platform itu membuka lebih banyak peluang untuk perkongsian ilmu, pembinaan jaringan profesional dan kerjasama strategik merentasi pelbagai bidang.
Menurut UMPSA Advanced, pembangunan Confera adalah sebahagian daripada usaha berterusan untuk menyokong transformasi digital dan memperkukuh ekosistem pendidikan serta persidangan yang lebih inklusif dan berdaya saing.
Maklumat lanjut mengenai Confera boleh didapati dengan melayari www.confera.com.my.
Ringkasan AI
- UMPSA Advanced Sdn Bhd, anak syarikat Universiti Malaysia Pahang, melancarkan Confera untuk penganjuran dan pengurusan persidangan secara digital
- Confera memudahkan pengurusan keseluruhan proses persidangan termasuk pendaftaran, pengurusan abstrak dan kertas kerja, serta penyertaan fizikal atau dalam talian
- Platform ini mengurangkan kerja manual, menjimatkan masa dan kos serta memastikan maklumat tersampaikan dengan jelas
- Confera membolehkan promosi persidangan kepada audiens yang lebih luas untuk meningkatkan penyertaan dari dalam dan luar negara
- Platform itu juga memfasilitasi perkongsian ilmu, pembinaan jaringan profesional, dan kerjasama antara komuniti akademik, industri, agensi kerajaan dan badan profesional