No Image Caption

UMS giat selesaikan isu ketiadaan air, ambil maklum luahan tular di media sosial

AZLEENDA SAHALUDIN
12 May 2023 05:45pm
A
A
A

Universiti Malaysia Sabah (UMS) mengambil maklum tentang luahan di laman sosial Twitter mengenai masalah kekurangan bekalan air di kampus induk Kota Kinabalu susulan isu berkenaan tular sejak beberapa hari lalu.

Memetik kenyataan daripada UMS yang berdasarkan maklumat hasil daripada beberapa siri pertemuan dengan Jabatan Air Negeri Sabah (JANS), masalah berkenaan dihadapi secara menyeluruh oleh penduduk sekitar Tuaran, Tamparuli, Sepanggar termasuk kampus UMS Kota Kinabalu.

“Loji yang membekalkan air terawat di kawasan-kawasan ini iaitu Loji Rawatan Air (LRA) Telibong, Tuaran hanya mampu menghasilkan bekalan air terawat sekitar 164 juta liter sehari (MLD) berbanding keperluan sebenar 190 MLD.

“Dan kampus induk UMS sahaja memerlukan sekitar tiga hingga lima MLD sehari untuk menampung keperluan air terawat di dalam kampus.

“Justeru, kerja-kerja pemindahan dan naik taraf saluran paip di sepanjang jalan Pan Borneo sedang dijalankan dan pihak JANS mengambil pendekatan mengadakan catuan bekalan air,” katanya dalam satu kenyataan.

Menyedari keperluan terdesak warga kampus khususnya di kolej-kolej kediaman mahasiswa, pihak universiti ketika ini juga menggunakan perkhidmatan lori tangki bagi membekalkan air terawat JANS.

Bekalan berkenaan diperoleh dari LRA Moyog Penampang dengan melibatkan 20 kali penghantaran sehari atau anggaran kapasiti sehingga 400,000 liter sehari dibekalkan untuk kegunaan kolej kediaman mahasiswa dan bangunan sekitar dalam kampus UMS.

Bahkan, UMS juga telah mengenal pasti punca air bukit lain dan akan membuat salur paip baharu bagi penyaluran air bukit berkenaan untuk kegunaan mahasiswanya.

Artikel Berkaitan:

“Sebanyak RM350,000 telah diperuntukkan bagi pelaksanaan inovasi bekalan sumber air dalaman seperti air graviti, air bawah tanah dan air hujan.

“Selain itu, tangki-tangki tambahan di luar kolej-kolej kediaman turut lengkap dengan sistem

pam dan perpaipan telah disediakan,” tambahnya lagi.

Bukan itu sahaja, UMS sedar langkah-langkah ini mungkin belum dapat menyelesaikan isu ketiadaan air secara menyeluruh namun universiti akan terus berusaha mengurangkan impak catuan bekalan air.

Memetik kenyataan berkenaan juga, UMS katanya, menyambut baik cadangan mahasiswa untuk mengadakan kelas secara dalam talian sekiranya ketiadaan air ini semakin menyukarkan.

Sebelum ini, Sinar Bestari melaporkan satu ciapan di Twitter mengenai luahan seorang mahasiswa universiti tempatan tentang isu ketiadaan air di kampusnya.

Isu berkenaan telah menyukarkan dirinya dan rakan-rakan untuk hadir ke kelas secara fizikal dan telah membuat rayuan kepada salah seorang pensyarah untuk mengadakan kelas dalam talian.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok