Kasim (empat dari kiri) dan Razli (tiga dari kanan) menyempurnakan acara menandatangani dokumen perjanjian perkongsian harta intelek.
Kasim (empat dari kiri) dan Razli (tiga dari kanan) menyempurnakan acara menandatangani dokumen perjanjian perkongsian harta intelek.

UMS, UMK meterai perjanjian perkongsian harta intelek

14 Mar 2024 11:00am

Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Universiti Malaysia Kelantan (UMK) telah memeterai satu perjanjian perkongsian harta intelek bagi inovasi Alat Pengering Solar Bersepadu atau INSOLER, satu inovasi alat pengeringan hasil pertanian dan perikanan yang telah memanfaatkan penduduk di Sabah dan Kelantan.

Perjanjian tersebut dimeterai dalam satu acara menandatangani dokumen perjanjian yang disempurnakan Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr Kasim Mansor dan Naib Canselor UMK, Profesor Datuk Dr Razli Che Razak di Galeri Majlis, UMS.

Hadir sama pada majlis tersebut Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), UMS, Profesor Ir Dr Rosalam; Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), UMK, Profesor Ts Dr Arham Abdullah; Pendaftar UMS, Luqman Ridha Anwar dan Pengarah Kanan, Pusat Pengurusan Penyelidikan dan Inovasi (RMIC), UMK, Profesor Ir Ts Dr Julie Juliewatty Mohamed.

Turut serta, Pengarah PPIP UMS, Profesor Madya Dr Jidon Janaun; Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan, UMS, Profesor Dr Jumat Sulaiman dan Pengarah Bahagian Komersialan dan Harta Intelek (ICD), UMK, Dr Mardawani Mohamad.

Kasim ketika berucap sempena majlis tersebut memaklumkan, inovasi INSOLER dibangunkan oleh penyelidik dan pencipta kedua universiti iaitu Pengarah Pusat Pengurusan Inovasi dan Pengkomersialan (PPIP) UMS, Profesor Madya Dr Jidon Janaun dan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMK, Profesor Ts Dr Arham Abdullah.

Kasim ketika menyampaikan ucapan.
Kasim ketika menyampaikan ucapan.

“Inovasi kolaborasi ini tercetus kerana UMS dan UMK mempunyai hasrat dan aspirasi yang sama untuk membantu masyarakat khususnya dalam kalangan petani dan nelayan di luar bandar bagi meningkatkan sosioekonomi mereka.

“INSOLER merupakan idea inovasi yang menggabungkan pemanasan udara aktif dan pasif bagi mengatasi kelemahan pengeringan pengering solar secara konvensional.

Artikel Berkaitan:

“Inovasi ini telah digunakan oleh komuniti di Tumpat, Kelantan dan juga di Kota Belud Sabah, selain prototaip INSOLER di Fakulti Kejuruteraan UMS turut digunakan oleh beberapa komuniti untuk pengeringan hasil-hasil pertanian seperti kulit jagung dan sisa kopi,” katanya.

Beliau menambah, inovasi INSOLER telah merangkul pelbagai anugerah inovasi di peringkat kebangsaan, malah dinobatkan sebagai pemenang pingat emas dan Anugerah Khas, The Star of New York (Green Technology) di Pertandingan berprestij iENA Germany 2023.

“Saya dimaklumkan sudah ada syarikat yang berhasrat mengkomersialkan inovasi INSOLER ini dan pihak PPIP UMS sedang dalam proses menyediakan dokumen perjanjian pengkomersialan berkenaan.

“Justeru, harapan saya agar sinergi antara UMS dan UMK akan berterusan dan kekal utuh dalam memastikan kelangsungan pembudayaan inovasi di universiti awam sentiasa lestari.

“Kejayaan perjanjian ini membuktikan bahawa sesuatu penyelidikan atau inovasi boleh dihasilkan secara multi-disiplin dengan kerjasama dua atau lebih universiti,” ujar Kasim.

Kasim (duduk, dua dari kanan) dan Razli (duduk, dua dari kiri) bersama pegawai-pegawai utama dari UMS dan UMK.
Kasim (duduk, dua dari kanan) dan Razli (duduk, dua dari kiri) bersama pegawai-pegawai utama dari UMS dan UMK.

Dalam pada itu, Razli ketika menyampaikan ucapan balas berkata, inovasi INSOLER direka bentuk untuk menggalakkan pertanian lestari dengan meningkatkan pengeringan hasil pertanian dan mengurangkan pembaziran makanan.

“Dua unit INSOLER telah dihasilkan dengan satu unit di UMS berkapasiti 200 kilogram manakala satu unit lagi dibina di UMK berkapasiti 2,000 kilogram yang mana digunakan untuk projek komuniti untuk pengeringan ikan bekok di Tumpat, Kelantan.

“Inovasi ini telah membantu pengusaha ikan bekok untuk terus beroperasi khususnya pada musim tengkujuh kerana INSOLER mempunyai proses yang lebih sistematik dan berkualiti seperti kawalan suhu, kelembapan dan masa menggunakan sistem elektronik.

“Ini sekali gus memberi manfaat kepada peningkatan kapasiti penghasilan ikan bekok sebanyak 300 peratus kerana masa pemprosesan menggunakan INSOLER hanya memerlukan satu jam penghasilan berbanding kaedah konvensional adalah selama tiga jam,” ujar beliau.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp