Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (UniSHAMS)- Kredit foto FB UniSHAMS
Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (UniSHAMS)- Kredit foto FB UniSHAMS

UniSHAMS tawar 18 pelajar Malaysia sambung pengajian akibat konflik Sudan

NADZARUL AMIR ZAINAL AZAMNADZARUL AMIR ZAINAL AZAM
02 May 2023 04:46pm

Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (UniSHAMS) sedia menawarkan peluang menyambung pengajian kepada 18 pelajar Malaysia yang terkesan dengan pergolakan yang berlaku di Khartoum, Sudan, baru-baru ini.

Pejabat Naib Canselor UniSHAMS dalam satu kenyataan berkata, pihaknya juga menyediakan pembelajaran dalam Bahasa Arab dan memiliki lebih 30 tenaga pengajar Antarabangsa dari negara-negara Arab.

"Bagaimanapun, tawaran menyambung pengajian di UniSHAMS dalam bidang dan peringkat pengajian yang berkaitan adalah tertakluk kepada perbincangan lanjut serta kelulusan pihak KPT," katanya.

Ujar kenyataan itu lagi, UniSHAMS juga bersedia menawarkan pemindahan kredit maksimum dalam usaha untuk memastikan kesinambungan pengajian untuk kesemua 18 pelajar yang terjejas dapat ditangani segera tertakluk kepada Peraturan Akademik UniSHAMS dan kelulusan KPT.

Katanya, UniSHAMS menawarkan 42 program yang mendapat akreditasi Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan diluluskan Jabatan Pengajian Tinggi (JPT) dalam pelbagai bidang dan peringkat pengajian.

"Ia bermula peringkat pengajian asasi, diploma, ijazah sarjana muda, diploma pasca siswazah, ijazah sarjana dan ijazah doktor falsafah.

"UniSHAMS bersyukur di atas kejayaan Kementerian Luar yang berjaya melaksanakan Pelan Evakuasi rakyat Malaysia di Sudan dalam misi membawa pulang 30 rakyat Malaysia ke tanah air dengan selamat," ujarnya.

Artikel Berkaitan:
Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp