Universiti berperanan bantu usahawan PMKS
Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) merupakan antara penyumbang terbesar kepada pertumbuhan ekonomi negara sekali gus memangkin pembentukan masa depan negara.
Melihat kepada kepentingan dan sumbangan PMKS, pelbagai pihak bermula dari peringkat universiti perlu berganding bahu untuk membantu usahawan-usahawan di negara ini.
Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, dalam bajet yang dibentangkan Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kerajaan melalui agensi-agensinya akan terus menyediakan pelbagai kemudahan pinjaman dan jaminan pembiayaan untuk manfaat usahawan PMKS yang bernilai keseluruhan RM40 bilion.
“Melalui penyediaan tersebut kemudahan pinjaman di bawah agensi seperti Bank Negara Malaysia (BNM), Bank Simpanan Nasional (BSN) dan TEKUN dengan dana yang tersedia pastinya boleh membantu mereka nanti,” ujarnya ketika ditemui semasa mengunjungi reruai yang memasarkan produk PMKS sempena Persidangan Antarabangsa Pengurusan dan Komunikasi (ICMC) 2023 ketiga anjuran Universiti Utara Malaysia Kuala Lumpur (UUM KL) di Raia Hotel, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Sempena persidangan ini antara produk PMKS yang dipromosikan ialah makanan tradisional, kerepek, ketupat palas, pelbagai jenis pes, pengusaha keropok, satar goreng, pau, ukiran kayu dan pengusaha batik.
Ahmad berkata, universiti boleh memainkan peranan untuk membantu usahawan-usahawan ini memasarkan produk mereka melalui kaedah digitalisasi kerana ia dapat melonjakkan perniagaan kelak.
Sementara itu Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Dr Shahimi Mohtar ketika ditemui memberitahu, UUM bersedia membantu usahawan PMKS ini sekiranya mereka memerlukan bimbingan dan nasihat melalui kepakaran tenaga akademik atau penglibatan pelajar bagi menjayakan program tersebut.
“Kita akan mengkaji, meneliti dan berbincang kaedah-kaedah merangkumi analisis data dan pemasaran secara digital bagi meneroka serta mengenal pasti solusi digital yang dapat membantu dari segi meningkatkan jualan, mengurangkan kos serta peningkatan produktiviti perniagaan juga nanti,” ujarnya lagi.
Shahimi Mokhtar berharap dengan penglibatan UUM ini khususnya dapat membantu pelanggan bukan sahaja menikmati pembelian pada harga lebih murah malah dapat meningkatkan pendapatan dalam kalangan usahawan PMKS.