
Universiti tidak tawar kursus 'lelong' kepada pelajar
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menegaskan universiti di negara ini tidak pernah menawarkan 'kursus lelong' atau kursus yang sudah tidak relevan kepada pelajar.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, setiap kursus pengajian yang ditawarkan universiti sentiasa melalui proses semakan berkala setiap tiga hingga lima tahun bagi memastikan ia sejajar dengan keperluan industri semasa.
"Baru-baru ini kita dengar kononnya ada kursus-kursus lelong iaitu kursus yang dah tak laku (tetapi) universiti tawar juga kepada pelajar-pelajar. Universiti tidak amalkan perkara itu kerana setiap tiga ke lima tahun, mereka akan merangka dan melihat semula kursus-kursus yang ditawarkan bagi menilai sama ada ia masih relevan atau tidak.
"Pada hari ini, dalam dunia digital transformasi yang berlaku di hadapan kita, tentunya kita memerlukan beberapa pendekatan baru untuk mengemukakan kurikulum-kurikulum baru di universiti," katanya di sidang Dewan Negara pada Khamis.
Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Ahli Dewan Negara, Musoddak bin Ahmad mengenai dakwaan bahawa universiti masih menawarkan kursus agak lapuk atau sudah ketinggalan kepada pelajar.
Mengulas lanjut, Zambry menjelaskan, isu tersebut merupakan satu persoalan yang sering kali bincangkan apabila melibatkan soal bakat dan fenomena brain drain atau penghijrahan bakat ke luar negara.
Beliau menjelaskan, keperluan industri semasa yang berubah menuntut bidang disiplin pendidikan juga berubah.
"Sebagai contoh, bidang yang dikatakan mempunyai pasaran yang baik iaitu dalam bidang elektrik dan elektronik (E&E) atau dalam bidang kejuruteraan. Dalam bidang kejuruteraan ini pun, dulu kita mempunyai pemahaman bahawa kursus-kursus yang berkaitan ialah kejuruteraan awam dan atau kejuruteraan elektrik.
"Tapi sekarang ini perkembangan yang berlaku di luar sana berbeza. Sekarang ini perubahan berlaku di hadapan kita apabila ada dipanggil kejuruteraan bersepadu. Ia juga melibatkan disiplin-disiplin yang lain, dimasukkan dalam bidang-bidang ini," ujarnya.
Zambry berkata, perkembangan tersebut merupakan perubahan yang sangat transformatif dalam dunia pendidikan pada hari ini yang bukan hanya membabitkan Malaysia tetapi juga melibatkan seluruh dunia.
Katanya, pendekatan baharu itu yang sedang dilakukan seiring dengan pelaksanaan Pelan Pendidikan Tinggi Nasional 2025 hingga 2035.
"Insya-ALLAH dengan Pelan Pendidikan Tinggi Nasional 2025 hingga 2035, ia akan memberi tumpuan kepada aspek-aspek yang saya sebutkan tadi iaitu perubahan bukan hanya semata-mata dalam konteks hands-on juga kepada minds-on ini.
"Jadi kita harap dengan adanya pelan pendidikan tinggi nasional ini, akan memberi dukungan yang baik bagi kita melaksanakan agenda ini," katanya. - Sinar Harian
Ringkasan AI
- Kementerian Pendidikan Tinggi menafikan adanya kursus lelong di universiti
- Setiap kursus pengajian diperiksa setiap tiga hingga lima tahun untuk kesesuaian dengan keperluan industri
- Dakwaan kursus tidak relevan ditolak, penekanan pada kurikulum yang disesuaikan dengan transformasi digital
- Pengajaran dan kurikulum universiti berubah mengikut keperluan pasaran dan industri
- Pelaksanaan Pelan Pendidikan Tinggi Nasional 2025 hingga 2035 sebagai langkah menyelaraskan pendidikan dengan keperluan masa depan