Mohamed Khaled (kanan) ketika menghadiri majlis pertukaran MoA antara UPM dan Farm Fresh baru-baru ini.
Mohamed Khaled (kanan) ketika menghadiri majlis pertukaran MoA antara UPM dan Farm Fresh baru-baru ini.

UPM, Farm Fresh perkukuh kerjasama industri tenusu

MARIATUL QATIAH ZAKARIA
23 Mar 2023 04:16pm
A
A
A

Farm Fresh Berhad (FFB) melabur sejumlah RM25 juta sejak 2017 bagi membangunkan Pusat Kecemerlangan Industri (ICOE) Tenusu sebagai usaha mengembangkan industri tenusu tempatan.

Menurut Ketua Pegawai Operasi Kumpulan FFB, Azmi Zainal, projek kerjasama dengan Universiti Putra Malaysia (UPM) itu turut memberi tumpuan kepada pembangunan pusat agropelancongan bagi menggalakkan generasi muda meminati bidang pertanian.

Tambah beliau, kerjasama pemain industri membolehkan pelajar institut pengajian tinggi (IPT) mengikuti latihan industri dan menimba pengalaman bagi mempersiapkan diri bersaing dalam dunia pekerjaan.

“Selain kerjasama membangunkan pusat agropelancongan, FFB dan UPM turut berkolaborasi dari segi memberi latihan amali kepada 670 pelajar UPM sejak 2012.

“Daripada jumlah itu, 58 graduan telah diserap menjadi pekerja FFB dan ini merupakan satu indikasi kepada syarikat lain di luar sana untuk bekerjasama dengan universiti bagi memberi situasi menang-menang kepada dua pihak,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Pertukaran Memorandum Perjanjian (MoA) bersama UPM, baru-baru ini.

Mohamed Khaled (kanan) ketika menghadiri majlis pertukaran MoA antara UPM dan Farm Fresh baru-baru ini.
Mohamed Khaled (kanan) ketika menghadiri majlis pertukaran MoA antara UPM dan Farm Fresh baru-baru ini.

Turut hadir, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang menyaksikan pertukaran MoA berkenaan.

Dalam pada itu Azmi memaklumkan, ICOE Tenusu UPM-Farm Fresh yang meliputi 40.5 hektar tanah di Ladang 16 UPM akan diperkasakan dari semasa ke semasa bagi menjadikan pusat itu sebagai pusat rujukan pembelajaran.

Artikel Berkaitan:

“Ini membolehkan pengunjung yang datang ke sini bukan sahaja boleh melihat proses tenusu tetapi juga pelbagai aktiviti lain seperti ladang sayur, dusun, perikanan, ikan hiasan dan kambing.

“Oleh itu kerjasama dengan UPM ini bukan hanya dalam bidang ternakan tetapi pemasaran, perniagaan, pelancongan dan sains makanan,” jelasnya.

ICOE Tenusu UPM-Farm Fresh meliputi 40.5 hektar di Ladang 16 UPM.
ICOE Tenusu UPM-Farm Fresh meliputi 40.5 hektar di Ladang 16 UPM.

Dalam pada itu, Naib Canselor UPM, Datuk Dr Mohd Roslan Sulaiman berkata, usahasama antara universiti berkenaan dengan FFB merangkumi bidang pengajaran dan pembelajaran; penyelidikan dan inovasi; aktiviti keusahawanan pelajar serta latihan kemahiran berkaitan untuk kakitangan UPM.

“Saya berharap kerjasama ini mampu melonjakkan keterlibatan industri dalam memacu UPM sebagai menara ilmu dan terus kekal sebagai peneraju bidang pertanian di samping merancakkan bidang tujahan lain,” ujarnya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok