
UPSI perkenal SOVO Kit 2.0, aplikasi interaktif pembelajaran bahasa asing
Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terus mengorak langkah dalam inovasi pendidikan dengan memperkenalkan SOVO Kit 2.0, aplikasi interaktif berasaskan kemahiran mendengar untuk memupuk minat kanak-kanak terhadap bahasa asing.
Ketua Penyelidik, Mariyati Mohd Nor berkata, aplikasi itu boleh dimuat turun melalui platform Android dan Apple serta direka menggunakan ilustrasi berwarna-warni bagi menarik minat pengguna cilik.
"SOVO Kit 2.0 lebih menekankan gabungan bunyi dan suara yang membentuk konsep SOVO sebagai medium utama pembelajaran.
"Kit ini turut menawarkan latihan bahasa berasaskan kemahiran mendengar bagi membantu pelajar memahami asas sebutan dan perbendaharaan kata dengan lebih berkesan," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Aplikasi itu dibangunkan bersama-sama rakan penyelidik Robe'ah Yusuf, Noraziah Abdul Aziz, Noor Azalina Buang, Tan Lee Na dan Muhammad Hilmi Che Ahamad dengan masing-masing mempunyai kepakaran dalam bidang bahasa asing.
Mariyati berkata, pendekatan pelbagai disiplin itu membolehkan aplikasi berkenaan memuatkan kandungan autentik, menyeluruh serta sesuai dengan keperluan pembelajaran kanak-kanak.
"Jika versi pertama SOVO Kit 1.0 hanya menekankan kemahiran mendengar, kali ini SOVO Kit 2.0 menyediakan peluang kepada kanak-kanak untuk menguasai lima bahasa asing dengan pendekatan interaktif, menyeronokkan dan autentik.
"Antara bahasa yang ditawarkan ialah Perancis, Jerman, Sepanyol, Mandarin dan Jepun. Kami yakin ia dapat memperkukuh pembelajaran sejak usia muda sekali gus membentuk generasi lebih bersedia menghadapi cabaran global," katanya.
Sementara itu, Dekan Fakulti Bahasa dan Komunikasi UPSI, Profesor Madya Mazura@Mastura Muhammad dalam kenyataan sama menyifatkan projek berkenaan sebagai usaha bermakna yang memberikan manfaat besar kepada masyarakat khususnya Generasi Z.
"Inisiatif ini bukan sahaja memperkenalkan bahasa asing sejak peringkat awal, tetapi juga menyemai minat generasi muda untuk berinteraksi dalam persekitaran global.
"SOVO Kit 2.0 diyakini akan menjadi pemangkin pembangunan kemahiran linguistik generasi muda selain menyokong aspirasi negara melahirkan masyarakat celik pelbagai bahasa," katanya. - Bernama