
SMK Kuhara perkukuh literasi STEM melalui Sustainability Camp 2025
Program Professor@School: Sustainability Camp 2025 yang melibatkan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kuhara, Tawau, Sabah berjaya memperkukuhkan pengetahuan mereka dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
Dianjurkan oleh Fakulti Kejuruteraan (FKJ) dan Perpustakaan UMS (U-Science), Universiti Malaysia Sabah (UMS), inisiatif ini dirangka khas untuk memberi pendedahan mendalam tentang STEM, menggalakkan pembudayaan inovasi dan kesedaran terhadap kelestarian alam sekitar.
Menurut Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Tawau Sektor Pembelajaran, Mohd Noor Kahal, Sustainability Camp 2025 merupakan satu inisiatif bermakna yang dapat memperluas kesedaran pelajar terhadap kelestarian alam sekitar.
"Usaha bersama antara UMS dan SMK Kuhara membuka ruang kepada pelajar untuk meneroka potensi diri melalui pengalaman pembelajaran sebenar.

"Tindakan ini bukan sahaja memupuk kesedaran terhadap kelestarian alam sekitar, malah turut mengukuhkan hubungan antara komuniti dan institusi pendidikan," jelas beliau ketika merasmikan program berkenaan baru-baru ini.
Program yang berlangsung selama tiga hari diketuai Pengarah Pusat Pengurusan Strategik, Profesor Ir Dr Nurmin Bolong, dengan sokongan pelajar Tahun Empat Program Kejuruteraan Awam, UMS.
Sepanjang program, peserta diberi pendedahan secara langsung melalui aktiviti berasaskan amali seperti pembuatan eco-brick daripada plastik terpakai, pembangunan kebun mini menggunakan kompos Bokashi serta penghasilan sabun mesra alam daripada minyak masak terpakai.

Pendekatan ini bertujuan memperkukuh kemahiran penyelesaian masalah, kreativiti dan pemikiran kritis dalam kalangan pelajar, selain menanamkan sikap bertanggungjawab terhadap alam sekitar.
Turut menjayakan program ialah Pensyarah Kanan FKJ, Profesor Madya Ts Dr Ismail Saad; Pensyarah Kanan merangkap Penasihat Program, Ts Dr Siti Nor Farhana Zakaria dan Pengetua SMK Kuhara, Mokhtar Abdul Rashid.
Ringkasan AI
- Program Professor@School: Sustainability Camp 2025 melibatkan pelajar SMK Kuhara, Tawau, Sabah dalam bidang STEM
- Dianjurkan oleh Fakulti Kejuruteraan UMS dan Perpustakaan UMS, bertujuan memberi pendedahan pendalam tentang STEM
- Inisiatif ini menekankan pembudayaan inovasi dan kesedaran terhadap kelestarian alam sekitar
- Peserta diajar melalui aktiviti amali seperti pembuatan eco-brick, kebun mini kompos Bokashi, dan sabun mesra alam
- Program ini mengukuhkan kemahiran penyelesaian masalah, kreativiti, pemikiran kritis, dan sikap bertanggungjawab terhadap alam sekitar
