USIM, TM One perkasakan ICT di universiti

FIRDAUS HANAFI MOHD ZAIN
09 Mar 2023 04:54pm
A
A
A

Hari ini Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) telah menjadi satu keperluan yang penting dalam dunia pendidikan terutamanya kepada mahasiswa institut pengajian tinggi (IPT).

Ini kerana penuntut IPT sememangnya memerlukan ICT bagi memenuhi tuntutan akademik masing-masing.

Menyedari kepentingan itu, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), baru-baru ini telah menjalinkan kerjasama strategik bersama TM Technology Services Sdn Bhd (TM One).

Kolaborasi tersebut telah meletakkan sasaran untuk meningkatkan transformasi pendigitalan serta pemerkasaan agenda transformasi ICT di USIM.

Sebanyak tiga teras akan dibangunkan menerusi kerjasama bersifat strategik itu yang terdiri daripada ekosistem inovasi; pembangunan bakat serta pertukaran pendapat mengenai pendidikan tinggi; dan trend perniagaan terkini.

Naib Canselor USIM, Profesor Datuk Dr Sharifudin Md Shaarani berkata, kepentingan teknologi ICT kepada pendidikan dapat disaksikan ketika tempoh pandemik Covid-19 yang lalu.

Ujar Sharifudin, System Development and Engineering Centre (SDEC) USIM mempunyai peranan penting bagi memastikan warga USIM terutamanya dalam kalangan pelajar tidak ketinggalan menghadapi cabaran pendidikan global masa kini.

Jelasnya, USIM telah melancarkan ‘Smart University Blueprint’ (Al-Jamiah Al-Mubarakah) dan Pelan Strategik ICT (ISP) RMK-12 pada 28 Mei 2021 yang memfokuskan kepada inisiatif-inisiatif digital selari dengan usaha MyDIGITAL di peringkat Kebangsaan.

Artikel Berkaitan:

“Inisiatif ini bertepatan dengan saranan Menteri Pendidikan Tinggi melalui Perutusan Tahun Baharu 2023 agar setiap universiti dalam negara ini memperkasakan agenda pendigitalan.

“USIM juga menyedari peranan penting yang dipegang pemain industri seperti Telekom Malaysia Berhad dalam membantu universiti mewujudkan sebuah ekosistem digital yang baik serta terus maju dalam dunia digital tanpa sempadan ini,” jelasnya pada Majlis Menandatangani MoU antara USIM dan TM One di Menara TM, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Hadir sama adalah Ketua Pegawai Maklumat (CIO) USIM, Dr Mohd Zalisham Jali; Pengarah Pembangunan Sistem dan Kejuruteraan (SDEC) USIM, Ts Mohd Saiful Abdul Samad; dan Naib Presiden Eksekutif TM One, Shazurawati Abd Karim.

Pada majlis tersebut USIM diwakili oleh Sharifudin sementara TM One diwakili Shazurawati.

Sementara itu Shazurawati berkata, pihaknya teruja kerana menjadi sebahagian daripada perancangan transformasi pintar USIM serta diberikan peluang untuk membentuk kemampuan pendigitalan universiti tersebut.

Tutur beliau, proses transformasi IPT ke arah pendigitalan sepenuhnya harus disegerakan bagi mengelakkan mereka daripada ketinggalan.

Tambahnya lagi, selaras dengan kehendak Revolusi Industri (IR) 4.0, transformasi tersebut bukan sahaja meningkatkan kemampuan USIM untuk bersaing di peringkat tempatan bahkan juga di peringkat antarabangsa.

“Menerusi kerjasama ini, TM One akan memberikan sokongan penuh kepada proses transformasi USIM melalui rangkaian penyelesaian digital serta infrastruktur teknologi yang kami miliki.

“Antara rangkaian penyelesaian yang dimaksudkan adalah keselamatan siber, perkhidmatan pintar serta kemudahan mobiliti yang akan meningkatkan keupayaan pendigitalan di universiti, menambah baik proses Pengajaran dan Pembelajaran (PdP), kaedah pentadbiran dan penyelidikan serta perkhidmatan kepada pelajar,” katanya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok