UTeM buka pusat pembelajaran di Sri Lanka?
Dalam usaha memperluaskan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional Malaysia (TVET), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) mengambil inisiatif membuka pusat pembelajaran di Sri Lanka kelak.
Menurut Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Ts Dr Massila Kamalrudin, pusat pembelajaran itu merupakan kerjasama dengan salah sebuah institusi pendidikan tinggi (IPT) iaitu College of Management and Technology (CMT) Campus, Sri Lanka.
“Penubuhannya bertujuan untuk pelaksanaan dan penawaran program, aktiviti akademik serta penyelidikan bersama antara UTeM dan CMT di negara tersebut.
“Ia adalah inisiatif kami dalam usaha pemerkasaan pengantarabangsaan TVET,” ujarnya.
Sementara itu, sebagai menzahirkan kerjasama strategik tersebut, UTeM memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan CMT di Kampus Induk UTeM, Durian Tunggal, Melaka, baru-baru ini.
Ia ditandatangani Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UTeM, Profesor Dr Zulkifilie Ibrahim dan Dekan Fakulti Pengurusan Teknologi dan Teknousahawanan, Profesor Dr Syaiful Rizal Abdul Hamid, mewakili UTeM.
Manakala CMT diwakili Pengerusinya, Dr A M Jameel dan Pengarah Eksekutif, P M Naleem.
Dalam pada itu, Massila berkata, kerjasama itu menyaksikan beberapa agenda akan dijayakan seperti pertukaran staf akademik dan pelajar dalam perkembangan akademik untuk kedua-dua pihak
“Selain itu, akan diadakan penganjuran aktiviti bersama seperti seminar, bengkel dan perkongsian bahan yang berkepentingan bersama.
“Juga akan menjayakan kerjasama berkaitan pengajaran dan penyelidikan dalam bidang berkepentingan bersama,” ujar Massila.