UTeM sediakan 7 inisiatif kepada pelajar lepasan SPM B40
Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) menyediakan tujuh inisiatif berimpak bantuan dan cakna sepanjang tempoh pengajian kepada pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dari keluarga kumpulan B40 yang bakal menyambung pengajian peringkat diploma di universiti tersebut.
Menurut Naib Canselornya, Profesor Ts Dr Massila Kamalrudin, antara inisiatif yang ditawarkan adalah program Anak Emas yang mana tajaan pengajian dan wang saku pelajar membabitkan peruntukan keseluruhan sebanyak RM90,324 yang telah disalurkan melalui Yayasan Canselor.
Malah katanya lagi, program tersebut merupakan agenda julung kali dijayakan oleh UTeM bermula tahun lalu dan paling menarik pengajian pelajar ditanggung sepenuhnya oleh pihak terbabit.
Sebagai universiti yang menerajui Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) aras tinggi negara, Massila memberitahu, UTeM turut menyediakan Bantuan Pengajian TVET sepanjang tempoh pengajian kepada mereka yang memenuhi syarat kelayakan.
Bukan itu sahaja, UTeM terus berusaha meletakkan kebajikan pelajar sebagai agenda utama khususnya golongan B40 melalui bantuan zakat dan juga sumbangan dari agensi korporat.
Bagi memastikan keselesaan berterusan dinikmati pelajar B40 sepanjang pengajian, Massila menjelaskan, inisiatif seterusnya sudah tentu akan menjadi elemen pemudah cara kelangsungan kehidupan buat mahasiswa di kampus.
“Antara inisiatif tersebut adalah program Menu Siswa Rahmah yang memberi manfaat bukan sahaja kepada mahasiswa terutama B40 malahan bermanfaat kepada seluruh warga UTeM dan komuniti setempat.
“Selain itu, kami turut menyediakan bantuan TUAH Care Food@Campus berupa bantuan makanan dengan peruntukan lebih RM150,000 sebulan.
“Pada masa sama, UTeM juga melaksanakan program Food Bank iaitu agihan makanan kepada penuntut yang memerlukan,” jelasnya dengan menambah universiti turut menyediakan alternatif bantuan Pinjaman Jangka Pendek (PJP) dengan amaun sebanyak RM500 kepada mahasiswa memerlukan.