UTHM diseru bantu pemetaan ekosistem TVET negara
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) diminta membantu Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) memeta ekosistem Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) negara.
Menurut Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, sebagai universiti sulung Rangkaian Universiti-Universiti Teknikal Malaysia (MTUN), UTHM dilihat mampu memainkan peranan tersebut.
“Antara peranan yang boleh dimainkan UTHM bersama universiti lain di bawah MTUN adalah dengan memperkasakan program-program yang ditawarkan termasuklah pengenalan TVET aras tinggi (HTVET) dan program lepasan ijazah TVET.
“KPT akan mengkaji keperluan menambah bilangan kemasukan penuntut dalam TVET di universiti-universiti di bawah MTUN sesuai dengan keperluan semasa negara,” kata Mohamed Khaled dalam kenyataan media pada Isnin.
Hadir sama Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan) KPT, Datuk Dr Mohd Zabri Yusoff; Pengerusi Lembaga Pengarah UTHM, Datuk Seri Ibrahim Ahmad; Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi (Akademik dan Pembangunan), Datuk Profesor Dr Norzaini Azman, pengurusan kanan dan wakil mahasiswa UTHM.
Sementara itu, Mohamed Khaled turut menyarankan UTHM terus meningkatkan kerjasama dengan pihak industri terutama dalam penyelidikan serta memperhebat program kelestarian dan perantis bagi mencapai hala tuju yang telah digariskan khususnya dalam bidang tujahan yang berasaskan teknologi lestari dan pengangkutan.
Sebelum itu, Mohamed Khaled telah mengadakan lawatan ke UTHM di Batu Pahat, Johor, pada 8 Mei lalu.
Lawatan tersebut merupakan siri lawatan kerja ke universiti di bawah MTUN selepas Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) pada 5 Mei 2023.
Lawatan dimulakan dengan tinjauan ke tapak Pameran Berimpak Tinggi TVET UTHM dan perkembangan aktiviti mahasiswa.
Turut berlangsung pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara UTHM dan pihak industri iaitu Elsevier dan Fuzi Dream Sdn Bhd.
Naib Canselor UTHM, Profesor Ir Ts Dr Ruzairi Abdul Rahim juga membuat pembentangan pencapaian dan hala tuju UTHM termasuklah pelan pelaksanaan inisiatif Global Technopreneur University 2030 (GTU 2030).