
UTHM jana RM5 juta dana sumbangan 2024 bantu kebajikan pelajar
Sebagai tanda prihatin, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah menjana RM5 juta dana sumbangan pada tahun 2024 bagi membantu kebajikan para pelajarnya terutama golongan B40.
Dana yang dikumpulkan di bawah Kluster UTHM Prihatin itu adalah hasil sumbangan pelbagai pihak antaranya kakitangan universiti orang awam, industri dan badan korporat.
Menurut Naib Canselor UTHM, Profesor Datuk Ir Ts Dr Ruzairi Abdul Rahim, dana yang terkumpul itu telah memberi manfaat kepada 11,899 penerima yang terdiri daripada pelajar golongan B40.
"Bantuan yang mereka terima adalah berbentuk tunai melibatkan peruntukan sebanyak RM4,591,535.09, yang disalurkan melalui bantuan zakat dan sumbangan daripada Yayasan UTHM, Dermasiswa Pusat Islam, Dermasiswa My Brighter Future serta Dermasiswa TVET B40.
"Manakala bantuan berbentuk in-kind pula melibatkan peruntukan keseluruhan berjumlah RM366,180 yang disumbang oleh pihak seperti Percetakan Yayasan Islam Johor (PIJ), Mudik Raya Borneo, Yayasan UTHM, Yayasan Taqwa dan Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Bina, UTHM," katanya.
Selain itu, bagi meringankan beban kos sara hidup pelajar sepanjang pengajian, mereka turut diberi makanan secara percuma melalui program Foodbank Siswa, Sabil Al-Hikmah dan Gerobok Rezeki.
Bentuk bantuan lain yang turut disalurkan termasuklah dana ihsan, bantuan yuran pengajian, kesihatan dan insurans pelajar serta Program Sulung.
Juga, bantuan pendidikan daripada Yayasan Pelajaran Mara (YPM), Yayasan Perkasa Siswa (YKS), Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) dan Yayasan Maghfirah.
Ruzairi berkata, setiap tahun UTHM akan memperuntukkan sejumlah dana bagi membantu para pelajar dan staf yang memerlukan sekali gus menyokong usaha pembangunan infrastruktur pendidikan di kampus.
Katanya lagi, bagi menzahirkan keprihatinan universiti kepada masyarakat setempat, UTHM turut memberi manfaat kepada golongan asnaf dan komuniti luar yang ditimpa musibah.
"Inisiatif yang telah dilaksanakan ini mencerminkan keperihatinan universiti dalam menyokong usaha kebajikan dan pembangunan pendidikan khusus untuk manfaat warga universiti dan juga komuniti setempat," jelasnya.
Beliau mewakili universiti turut merakamkan penghargaan kepada semua penyumbang yang telah menunjukkan komitmen tinggi dalam menyokong kesemua program kebajikan dan pembangunan pendidikan telah dilaksanakan pada tahun lalu dan tahun-tahun sebelumnya.