Lotong Cenekah sering memasuki kebun dan kawasan pertanian seperti kebun getah dan buah-buahan untuk memakan pucuk/daun muda sebagai sumber makanan.
Lotong Cenekah sering memasuki kebun dan kawasan pertanian seperti kebun getah dan buah-buahan untuk memakan pucuk/daun muda sebagai sumber makanan.

Penyelidik UTHM temui Lotong Cenekah di Pahang

05 Mar 2025 09:05am

Sekumpulan penyelidik Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) berjaya menemui spesies primat yang hampir pupus iaitu Lotong Cenekah (Presbytis femoralis) di Pahang baru-baru ini.

Penemuan yang diketuai Profesor Madya Ts Dr Muhammad Abdul Latiff Abu Bakar dari Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi (FAST) bersama pelajar Doktor Falsafah (PhD) seliaannya, Norhidayah Haris disahkan secara saintifik melalui penerbitan mereka bertajuk Ethnoprimatology reveals new extended distribution of critically endangered banded langur Presbytis femoralis (Martin, 1838) in Pahang, Malaysia: Insights from indigenous traditional knowledge and molecular analysis yang telah diterbitkan di jurnal terkemuka dunia iaitu American Journal of Primatology (Kuartil Q1 Web of Science) pada awal November 2024.

Menurut Muhammad Abdul Latiff, kajian itu telah berjaya mengesahkan kehadiran spesies Lotong Cenekah secara saintifik di beberapa kawasan di Pahang yang tidak pernah direkodkan sebelum ini melalui teknik etnozoologi, pemerhatian dan analisis perbandingan Deoxyribonucleic Acid (DNA) dengan Lotong Cenekah di Johor.

Untuk rekod, beliau dan pasukan telah menjalankan kajian ke atas spesies Lotong Cenekah itu sejak 2015 kerana ancaman kepupusan dan jumlah populasi spesies tersebut yang sangat kecil.

Sebelum ini, spesies berkenaan hanya direkodkan di Johor dengan anggaran populasi sebanyak 500 ekor.

Manakala populasi kecil sebanyak 70 ekor di Singapura, yang tidak dapat ditemui di kawasan lain.

Kata Muhammad Abdul Latiff, penemuan itu bermula ketika dia dilantik sebagai ahli Task Force Penilaian Kelestarian Biosfera Tasik Chini di bawah Akademi Sains Malaysia (ASM) yang diketuai Felonya, Profesor Datuk Dr Mohd Tajuddin Abdullah.

"Sebagai salah satu instrumen penilaian, saya dan pasukan telah menjalankan kajian etnozoologi atau kajian melibatkan interaksi antara masyarakat Orang Asli dengan hidupan liar.

Artikel Berkaitan:

Lotong Celak
Lotong Celak

"Masyarakat Orang Asli Jakun di Tasik Chini turut memaklumkan bahawa terdapat Lotong Cenekah di Tasik Chini dan maklumat yang sama telah diterima daripada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) sebelum pihak kami melihat perkara itu dengan lebih teliti," katanya.

Oleh kerana Lotong Cenekah mempunyai kelakuan yang sangat pemalu dan sering melarikan diri apabila mengetahui kehadiran manusia, usaha untuk menjalankan pemerhatian yang komprehensif dan sampel DNA daripada najis bagi pengesahan di makmal perlu dilakukan dengan teliti dan berkala.

Penyelidikan berterusan yang telah dijalankan oleh Muhammad Abdul Latiff dan pasukan di beberapa kawasan di Pahang termasuk di Tasik Chini, Tasek Bera, Rizab Hidupan Liar Tengku Hassanal, Krau dan beberapa kawasan lain turut dibantu pihak Jabatan Perhilitan, Majlis Biodiversiti Pahang (MBP) dan Profesor Dr Badrul Munir Md Zain dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Kajian yang telah dijalankan dengan dana yang diterima dari Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) melalui geran penyelidikan FRGS itu membuahkan hasil apabila mereka berjaya mengesahkan penemuan tersebut.

Spesies primat pemakan daun

Lotong Cenekah atau nama saintifiknya Presbytis Femoralis merupakan spesies primat pemakan daun yang dikategorikan sebagai sangat terancam atau Critically Endangered (CR) di bawah Senarai Merah Spesies Terancam (Redlist of Threatened Species) Kesatuan Antarabangsa untuk Pemuliharaan Alam Semula Jadi (International Union for Conservation - IUCN).

Lotong Cenekah yang merupakan salah satu dari 25 spesies primat yang bertaburan di Malaysia terdedah kepada pelbagai ancaman antaranya kemusnahan habitat dan pemburuan haram.

Lotong Cenekah itu juga sering disamakan dengan Lotong Celak yang mempunyai taburan lebih luas di Semenanjung Malaysia hingga Selatan Thailand yang menyebabkan masyarakat sering menganggap kedua-dua spesies ini adalah sama.

Ciri fizikal yang paling jelas untuk masyarakat umum membezakan kedua-dua spesies ini ialah Lotong Celak memiliki warna putih di sekeliling mata yang jelas dan bulu anak yang baru lahir berwarna kuning keemasan.

No Image Caption

Berbeza dengan Lotong Cenekah dengan pewarnaan mata dan anak yang baru lahir mempunyai bulu berwarna kelabu.

Selain itu, spesies Lotong Cenekah juga sering dianggap sama dengan spesies Lotong lain yang boleh dijumpai di Semenanjung Malaysia seperti Lotong Kakoh, Lotong Kekeh dan Lotong Kelabu.

Ini adalah kerana di Semenanjung Malaysia, kesemua spesies ini dirujuk dengan nama Lotong secara umum dan sering menyebabkan kekeliruan.

"Sebagai salah satu adaptasi untuk mengatasi masalah kemusnahan habitat dan kekurangan sumber makanan semula jadi, Lotong Cenekah sering memasuki kebun dan kawasan pertanian seperti kebun getah dan buah-buahan untuk memakan pucuk dan daun muda sebagai sumber makanan.

"Kelakuan Lotong Cenekah ini telah menimbulkan konflik bersama manusia dan dianggap sebagai musuh tanaman," ujarnya lagi.

Penemuan itu memberi nafas baharu dalam usaha pemuliharaan Lotong Cenekah di Malaysia kerana ia membuktikan habitat spesies ini lebih besar daripada anggaran sebelumnya iaitu hanya di Johor dan Singapura.

Masih banyak kajian yang perlu dijalankan untuk spesies Lotong Cenekah ini seperti kajian ekologi, kelakuan, genetik mahupun konflik manusia-hidupan liar.

Malah, kajian itu mencatat sejarah baharu bagi kajian interaksi Orang Asli dan Biodiversiti di Malaysia sekali gus sebagai usaha pemuliharaan spesies dan memahami interaksi Orang Asli dan hidupan liar di negara ini.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp