
UTHM manfaatkan kepakaran, beri latihan Sijil Kompetensi Juruterbang Kawalan Jauh Rcoc-B
Bagi memanfaatkan lagi kepakarannya dalam bidang dron, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah memberi latihan Sijil Kompetensi Juruterbang Kawalan Jauh RCoC-B kepada lima pegawai tinggi dari Jabatan Penjara Malaysia baru-baru ini.
Lima pegawai yang diketuai Timbalan Penguasa Penjara (Unit Teknikal Risikan dan Siasatan), Mohamad Zaimie Che Ani itu berjaya memperoleh Sijil Remote Pilot Certificate of Competency - Basic (RCoC-B) setelah menamatkan program latihan intensif anjuran Avitex Solution (M) Sdn Bhd.
Program latihan yang dijalankan selama enam hari bermula 28 April hingga 3 Mei lalu mengiktiraf kemahiran mereka dalam mengendalikan dron secara cekap, profesional dan selamat.
Mereka telah menjalani sesi pembelajaran teori dan latihan praktikal yang merangkumi aspek keselamatan penerbangan, meteorologi, undang-undang dan peraturan penerbangan dron serta kemahiran operasi sebenar.
Kompetensi mereka diiktiraf setelah berjaya melepasi kedua-dua ujian teori dan ujian penerbangan dron seperti yang ditetapkan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) sekali gus melayakkan mereka untuk beroperasi sebagai juruterbang dron yang diperakui di Malaysia.

Menurut Pengurus Bertanggungjawab RPTO UTHM, Profesor Madya Dr Mohammad Zulafif Rahim, pihaknya pernah bekerjasama dengan beberapa agensi kerajaan sebelum ini sebagai langkah positif dalam memperluas penggunaan teknologi terkini bagi meningkatkan kecekapan sektor kerajaan.
"Ini adalah contoh terbaik bagaimana UTHM, melalui bidang teknologi mampan dan pengangkutan dapat memberi impak kepada pengurusan dan operasi jabatan kerajaan, dengan memanfaatkan teknologi canggih dalam memantapkan sistem keselamatan dan pemantauan," katanya.
Dengan terlaksananya program itu, beliau berkata, UTHM terus komited dalam penyediaan latihan berkualiti tinggi dan memberi manfaat bukan sahaja kepada pelajar, tetapi juga kepada masyarakat, industri serta sektor kerajaan.

Terdahulu, Avitex Solution merupakan salah sebuah Syarikat Terbitan UTHM (STU) iaitu Organisasi Latihan Juruterbang Kawalan Jauh (RPTO) yang diluluskan CAAM.
Sehingga kini, RPTO UTHM telah melahirkan hampir 200 Juruterbang Kawalan Jauh Professional yang diiktiraf CAAM.
Ini secara tidak langsung ia muncul sebagai satu-satunya Organisasi Latihan Juruterbang Kawalan Jauh di bawah Universiti Awam Malaysia.