Dr Mas Fawzi (gambar kecil) berkata, universiti akan terus memperluas dan memperkukuh jaringan keselamatan sosial dan kebajikan pelajar terutama bagi mereka yang datang dari latar belakang kurang berkemampuan.
Dr Mas Fawzi (gambar kecil) berkata, universiti akan terus memperluas dan memperkukuh jaringan keselamatan sosial dan kebajikan pelajar terutama bagi mereka yang datang dari latar belakang kurang berkemampuan.

UTHM pergiat usaha bantu pelajar berkeperluan

22 Sep 2025 08:30am

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) terus mempergiat usaha memastikan kebajikan pelajar menjadi keutamaan melalui pemberian pelbagai bantuan dan inisiatif di bawah kluster UTHM Prihatin.

Inisiatif yang diambil itu selari dengan komitmen universiti meluaskan peluang kepada semua lapisan masyarakat untuk belajar di institusi pendidikan tinggi.

Untuk rekod, pada tahun 2024 UTHM telah berjaya menjana dana sebanyak RM5 juta di bawah program 'Dana UTHM Prihatin' yang manfaatnya dinikmati oleh 11,899 pelajar golongan B40, melalui bantuan tunai, zakat dan dermasiswa TVET B40.

Manakala sehingga Ogos tahun ini, seramai 14,016 pelajar telah menerima bantuan kebajikan pelajar dengan nilai keseluruhan sumbangan berjumlah RM2,043,457.58.

Bantuan berkenaan termasuklah pemberian komputer riba kepada pelajar B40 selain bantuan makanan melalui program Ziarah Kasih, Food Bank Siswa, Sabil Al-Hikmah dan makanan percuma.

UTHM turut menyediakan 'Dana Ihsan' dan bantuan zakat yang melibatkan pembiayaan seperti sara hidup, wang saku, yuran pengajian dan bantuan bencana, selain pemberian pinjaman tanpa faedah kepada pelajar yang tidak berkemampuan bagi meringankan kos yuran pengajian dan sara hidup.

Naib Canselor UTHM, Profesor Dr Mas Fawzi Mohd Ali menegaskan bahawa universiti akan terus memperluas dan memperkukuh jaringan keselamatan sosial dan kebajikan pelajar terutama bagi mereka yang datang dari latar belakang kurang berkemampuan.

"Tanggungjawab universiti ialah menyediakan sokongan holistik agar setiap mahasiswa dapat belajar dengan tenang dan fokus.

Artikel Berkaitan:

"Oleh itu pihak kami akan memastikan tiada pelajar yang tercicir hanya kerana cabaran kewangan," katanya.

Tambah beliau, UTHM turut merancang untuk memantau dan menambah baik program kebajikan tersebut secara berkala agar lebih relevan dan menjangkau lebih ramai penerima.

Selain itu, UTHM juga akan memperluas kerjasama dengan penyumbang dan agensi luar untuk meningkatkan kapasiti bantuan.

"Pihak universiti amat berterima kasih kepada penaja utama pelajar antaranya Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), My Brighter Future (MyBF), Yayasan Tenaga Nasional, Dermasiswa TVET B40 Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Program SULUNG serta pelbagai biasiswa dan penajaan daripada agensi kerajaan dan swasta.

"Juga terima kasih kepada agensi seperti Yayasan UTHM, Petronas, Yayasan Bank Rakyat, Yayasan Mara, Tabung Haji, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Sena Traffic System, Yayasan TRC dan Syarikat Xinyi Energy Smart (M) Sdn Bhd atas keprihatinan mereka menjadi penyumbang dalam membantu pelajar berkeperluan meneruskan pengajian mereka," katanya.

 

 

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp