UTP muncul universiti nombor satu Malaysia dalam THE Asia University Rankings 2023
Universiti Teknologi Petronas (UTP) mengukuhkan kedudukannya sebagai universiti nombor satu di Malaysia selain muncul universiti swasta nombor satu ASEAN dalam senarai Times Higher Education (THE) Asia University Rankings 2023.
Kejayaan ini merupakan pencapaian bersejarah buat UTP yang telah melonjak sebanyak 32 tempat dari kedudukan ke-95 tahun lalu dan kini berada di tempat ke-63.
Kecemerlangan UTP sebagai universiti terbaik di Malaysia juga menandakan perubahan dalam landskap pendidikan tinggi negara malah seluruh warga kampus melahirkan rasa gembira atas kejayaan luar biasa itu.
Naib Canselornya, Professor Dr Mohamed Ibrahim Abdul Mutalib berkata, pencapaian tersebut menunjukkan komitmen UTP yang tidak berbelah bagi kepada kecemerlangan akademik, penyelidikan dan inovasi serta pelbagai lagi kejayaan lain.
“Kami amat bangga dengan peningkatan ketara UTP dalam THE Asia University Rankings 2023.
“Pencapaian ini adalah bukti kepada dedikasi dan kerja keras fakulti, staf dan para penuntut.
“Sekalung penghargaan dan terima kasih juga kepada Petronas dan rakan kongsi kerana sentiasa memberi sokongan yang berterusan kepada universiti,” ujarnya.
Tambah Mohamed Ibrahim, UTP kekal komited untuk mengasah bakat pemimpin masa depan, memacu inovasi, mempromosi kelestarian dan usaha berterusan mereka ke arah kecemerlangan sekali gus menyumbang kepada pembangunan graduan berkemahiran tinggi di peringkat tempatan dan sejagat.
“Sebagai sebahagian daripada aspirasi UTP ke arah kelestarian sejagat yang unggul, kami akan terus menyokong inisiatif peralihan tenaga Petronas ke arah Pelepasan Karbon Sifar Bersih (NZCE) menjelang 2050,” tutur beliau lagi.
Selain UTP, Universiti Utara Malaysia (UUM) juga berkongsi kegembiraan yang sama apabila turut tersenarai dalam kelompok 100 Universiti Terbaik Asia pada THE Asia University Rankings 2023.
THE Asia University Rankings adalah ranking tahunan yang menyenaraikan 669 universiti di seluruh Asia.
Prestasi UTP dan UUM dalam ranking tersebut menunjukkan komitmen mereka dalam menghadapi persaingan serantau dan global serta menyumbang kepada perkembangan pendidikan tinggi negara.