Mearpet antara 10 projek terbaik ASEAN.
Mearpet antara 10 projek terbaik ASEAN.

Projek lestari pelajar KV Keningau 10 terbaik di ASEAN

AZLEENDA SAHALUDINAZLEENDA SAHALUDIN
15 Dec 2023 12:29pm

Kolej Vokasional Keningau, Sabah sekali lagi melakar kejayaan baru apabila seorang pelajarnya terpilih dalam 10 projek terbaik sempena Youth Sustainable Projects (YSUP) Competition 2023 anjuran European Union Delegation to ASEAN.

Membawa projek yang diberi nama Mearpet, Siti Nur Hanisah Omar Hashim melancarkannya pada penghujung 2022 yang menekankan kitar semula pakaian serta patung mainan terpakai.

Siti Nur Hanisah
Siti Nur Hanisah

“Alhamdulillah, projek ini mendapat perhatian sehingga terpilih 10 terbaik daripada 152 penyertaan seluruh negara Asia Tenggara.

“Dengan pencapaian membanggakan ini, saya dan rakan-rakan menjadi lebih bersemangat untuk menyebarluas projek tersebut agar ia dapat memberi manfaat kepada orang ramai,” katanya.

Pelajar tahun ketiga jurusan Pendidikan Awal Kanak-Kanak itu memberitahu, Mearpet merupakan projek yang bertujuan untuk mengurangkan pembuangan bahan tekstil yang semakin meningkatkan dan pada masa yang sama membantu kanak-kanak belajar untuk bertutur dengan menggunakan boneka.

Dengan mengitar semula pakaian dan patung permainan terpakai kepada boneka beraneka jenis, ia bertujuan untuk mendidik dan menghibur kanak-kanak.

Tidak hanya itu, projek ini juga berjaya membantu individu berkeperluan khas yang mengendalikan bengkel berbayar dalam menjahit boneka dari pakaian dan patung permainan bagi mereka yang berminat.

Artikel Berkaitan:

“Sebelum ini, projek yang kami bangunkan pernah dinobat sebagai naib johan bagi pertandingan Pitchbah anjuran kelab Oozee pada Julai lalu bertempat di Sabah International Convention Centre (SICC).

“Malah saya dan rakan-rakan turut pernah membuat beberapa persembahan menggunakan boneka yang dihasilkan untuk kanak-kanak di beberapa tempat termasuklah di pusat membeli-belah di Kota Kinabalu,” ujarnya.

YSUP Competition 2023 menyaksikan golongan belia dari seluruh Asia Tenggara yang berumur 18 hingga 30 tahun mempamerkan projek bertemakan alam sekitar, pendidikan, kesihatan, jantina dan pemerkasaan belia bagi merebut gelaran Projek Lestari Belia Terbaik.

Sementara itu, pengarah kolej, Nordin Akup amat berbangga dengan pencapaian pelajarnya yang telah mengangkat nama kolej bukan sahaja di peringkat Malaysia tetapi di seluruh negara ASEAN.

“Pencapaian ini menunjukkan impak pendidikan kolej vokasional di negara ini khususnya golongan muda.

“Ini membuktikan pendidikan kolej Vokasional mampu melahirkan belia yang inovatif serta berkemahiran dan menggunakan apa yang mereka pelajari untuk membantu komuniti,” katanya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp