UUM dan KPT erat kerjasama melalui sukan golf
Pembentukan jalinan kerjasama antara dua hala boleh memberikan sebuah visi yang lebih jelas dalam perkembangan pembangunan pihak yang terlibat.
Membudayakan jalinan itu juga dituntut bagi memacu organisasi-organisasi itu ke arah kecemerlangan pada masa depan.
Menyedari hakikat tersebut, baru-baru ini, Universiti Utara Malaysia (UUM) menerusi Akedemi Golf Nasional, UUM (AGNUUM) telah menganjurkan kejohananan golf persahabatan bersama Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).
Kejohanan Golf Persahabatan KPT-UUM 2023 yang dianjurkan buat julung kalinya bertujuan mengeratkan lagi kerjasama antara UUM bersama KPT.
Seramai 24 perserta yang terdiri daripada wakil AGNUUM, pensyarah UUM serta pegawai-pegawai kanan KPT telah menyertai kejohanan tersebut.
Menurut Ketua Setiausaha KPT, Datuk Seri Abdul Razak Jaafar, golf merupakan antara sukan yang istimewa kerana ia mampu mengeratkan lagu hubungan antara kedua belah pihak.
Jelasnya, hubungan yang dijalinkan melalui kejohanan sedemikian cukup bermakna khususnya melibatkan pembangunan universiti pada masa depan.
“Hubungan yang terjalin melalui sukan ini amat bermakna kerana KPT boleh mengambil input yang baik dari Universiti Awam (UA) untuk sebarang perancangan akan datang,” katanya pada majlis penutup Kejohanan Golf Persahabatan KPT-UUM 2023 di Staffield Country Resort, Mantin, Negeri Sembilan, baru-baru ini.
Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) yang menjalankan fungsi Naib Canselor UUM, Profesor Dr Shahimi Mohtar berkata, kejohanan persahabatan itu bertujuan meraikan hubungan baik antara Seksyen Sukan KPT dan UUM.
Jelasnya, kedua-dua pihak berjaya mengendalikan Pusat Kecemerlangan Sukan (PKS) Golf KPT dengan penuh dedikasi serta mencapai pelbagai kejayaan pada peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa.
Tambah Shahimi, beliau berharap kerjasama itu akan terus utuh pada masa depan.
“Dengan penganjuran kejohanan ini, jalinan silaturrahim sesama pelajar di bawah AGNUUM juga akan lebih diperkukuhkan.
“AGNUUM yang telah dilantik sebagai Pusat Kecemerlangan Golf juga berharap dapat menimbulkan kesedaran dan memupuk minat masyarakat Malaysia umumya terhadap sukan itu selaras dengan mandat yang diberikan kepada mereka,” ujarnya.