UUM kongsi rezeki, edar bubur lambuk kepada petugas imigresen

AZLEENDA SAHALUDINAZLEENDA SAHALUDIN
12 Apr 2023 02:17pm

Bulan Ramadan boleh diibaratkan sebagai madrasah yang mendidik diri dan jiwa setiap umat Islam untuk memperbaiki tingkah laku serta perbuatan kita.

Berpuasa di bulan ini tidak hanya diukur dengan usaha menahan lapar dan dahaga semata-mata tetapi ia merupakan medan untuk melawan nafsu yang sebenarnya menjadi musuh utama dalam diri manusia.

Malah di bulan ini turut dianggap istimewa kerana terdapat pelbagai kelebihan yang telah dijanjikan ALLAH pahala berlipat ganda sekiranya umat Islam melaksanakan amalan seperti berbuat baik dan bersedekah.

Sehubungan itu, amalan tersebut juga telah menjadi fokus utama Universiti Utara Malaysia (UUM) yang telah mengagihkan 1600 bungkusan bubur lambuk kepada petugas di Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (ICQS) Bukit Kayu Hitam, Kedah, baru-baru ini.

Agihan bungkusan makanan tersebut telah dilaksanakan oleh Timbalan Naib Canselornya (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Dr Ahmad Martadha Mohamed bersama Pengetua Inapan Siswa MAS dan TNB serta Jawatankuasa Kepimpinan dan Pembangunan Siswa (JKPS).

Menurut Ahmad Martadha, pengedaran bubur lambuk tahun ini berjaya diteruskan selepas dua tahun terhenti akibat pandemik Covid-19.

Katanya, semua petugas imigresen yang menjaga pintu masuk negara di Bukit Kayu Hitam telah menerima juadah itu sebagai makanan berbuka puasa.

Dalam pada itu, Pengetua MAS dan TNB, Profesor Madya Dr Rohani pula berkata, pengedaran bubur lambuk ini telah menjadi kebiasaan inap siswa ini dan mereka akan mengedarkannya kepada penduduk sekitar kampus dan petugas sempadan.

Artikel Berkaitan:

“Adunan resipi bubur lambuk adalah dari Pusat Islam UUM sejak 23 tahun lalu dan ia telah disediakan oleh staf dan mahasiswa secara bergotong-royong,” ujarnya lagi.

Proses menyediakan bubur lambuk ini telah dibuat seawal jam lapan pagi dan diedarkan sehingga lewat petang tadi termasuk di sekitar pekan Changlun.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp