Berpeluang sertai pasukan penyelidikan dalam bidang Fizik, Pengkomputeran, Kejuruteraan dan Matematik di makmal fizik zarah terbesar di dunia.
Kredit foto: CERN
Berpeluang sertai pasukan penyelidikan dalam bidang Fizik, Pengkomputeran, Kejuruteraan dan Matematik di makmal fizik zarah terbesar di dunia. Kredit foto: CERN

Vincent Tee Ming Han, satu-satunya wakil Malaysia jalani latihan praktikal di luar negara

AZLEENDA SAHALUDINAZLEENDA SAHALUDIN
03 Jul 2023 12:24pm

Orang mengantuk disorongkan bantal. Peribahasa ini sesuai ditujukan kepada seorang mahasiswa Universiti Malaya (UM), Vincent Tee Ming Han, apabila hajat untuk menimba ilmu dan pengalaman di luar negara tercapai selepas ditawarkan untuk menjalani latihan praktikal menerusi program CERN Summer Student Programme (CSSP).

Vincent,
Vincent,

Vincent, 22, merupakan satu-satunya wakil tunggal Malaysia ditawarkan untuk menjalani latihan praktikal di CERN, Geneva, Switzerland.

Bangga dan gembira dengan tawaran yang diberi, Vincent memaklumkan, peluang keemasan itu sememangnya salah satu impian yang ingin dicapai dan akhirnya ia menjadi satu kenyataan apabila dia akan berada di sana antara lapan hingga 13 minggu bermula hari ini (3 Julai 2023).

Bahkan, mahasiswa Ijazah Sarjana Muda Sains (Fizik) itu turut berpeluang menyertai pasukan penyelidikan dalam bidang Fizik, Pengkomputeran, Kejuruteraan dan Matematik di makmal fizik zarah terbesar di dunia itu.

“Saya amat berterima kasih kepada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) serta Akademi Sains Malaysia (ASM) yang membuka laluan kepada mahasiswa negara untuk menyertai program seperti CSSP.

“Ia ibarat impian menjadi kenyataan apabila saya juga boleh bertemu secara empat mata dengan penyelidik bertaraf dunia dalam bidang Fizik Zarah dan batu loncatan ke arah aspirasi untuk menjadi seorang ahli fizik zarah.

“Saya juga berharap dengan ilmu yang diterima dapat disumbangkan semula kepada kemajuan bidang ini di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Artikel Berkaitan:

Selain menjalani latihan praktikal di CSSP, Vincent juga berkesempatan bertemu dengan saintis muda dari seluruh dunia yang akan berkongsi pengetahuan tentang pelbagai topik dalam bidang Fizik Zarah dan Pengkomputeran secara teori juga eksperimen.

Sementara itu, Menteri MOSTI, Chang Lih Kang, turut memaklumkan, peluang untuk menyertai program CSSP ini adalah satu pengalaman bermakna, khususnya melalui pendedahan kepada persekitaran penyelidikan yang dinamik.

“Pengalaman ini tentunya membuka potensi mahasiswa untuk menjadi seorang penyelidik yang cemerlang.

“Ia seterusnya dapat memanfaatkan ilmu tersebut bagi membantu menaik taraf kehidupan masyarakat,” ujarnya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp