Warga UPSI meriahkan Imarah Ramadan, Nuzul al-Quran

AZLEENDA SAHALUDINAZLEENDA SAHALUDIN
07 Apr 2023 10:27am

Ramadan adalah bulan mulia bagi semua umat Islam kerana setiap amalan yang dilakukan sepanjang bulan ini pastinya akan mendapat pahala berlipat kali ganda.

Justeru, pasti ramai tidak mahu melepaskan peluang yang datang sekali setahun ini dengan menyertai pelbagai aktiviti atau program keagamaan dalam usaha mengimarahkan bulan mulia ini.

Ini termasuklah lebih 3,000 warga Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) memeriahkan program Imarah Ramadan dan Nuzul al-Quran di Dewan Tuanku Canselor, Kampus Sultan Azlan Shah, baru-baru ini.

Program tersebut yang dikendalikan oleh Fakulti Bahasa dan Komunikasi (FBK) serta Pusat Islam UPSI itu telah dirasmikan Naib Canselornya, Profesor Datuk Dr Md Amin Md Taff.

Md Amin berkata, program berkenaan antara pendekatan bagi mengeratkan hubungan silaturahim seluruh warga kampus sama ada dalam kalangan kakitangan akademik, mahasiswa serta kakitangan pentadbiran untuk menghayati pendekatan 5K antaranya Kekeluargaan, Kasih Sayang, Keseronokan, Kreativiti dan Kesegeraan.

Menerusi pendekatan sama, pelbagai aktiviti telah dijalankan bagi mengukuhkan ikatan silaturahim dalam organisasi sejak dua tahun lalu di mana universiti telah melakar kejayaan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

“Baru-baru ini, tiga mahasiswa UPSI telah mengungguli Anugerah Tokoh Siswa daripada 20 kategori anugerah yang diberi pengiktirafan.

“Anugerah ini adalah hasil inisiatif 'project by design' untuk melahirkan mahasiswa yang mampu bersaing dengan ribuan mahasiswa seluruh negara,” ujarnya.

Dalam pada itu, tambah Md Amin lagi, sebagai universiti peneraju kebitaraan pendidikan, UPSI juga bakal memulakan operasi pusat pembelajaran di Emiriah Arab Bersatu (UAE) selepas kejayaan di Uzbekistan serta China.

Artikel Berkaitan:


“UPSI menerusi Pusat Kajian Pendidikan (CPRI) akan bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan (KPM) dan Institut Pendidikan Guru (IPG) bagi membangunkan penyelidikan berkenaan pendidikan pedagogi serta kerjasama dengan Universiti Cambridge United Kingdom dan Universiti Kebangsaan Singapura dalam bidang teknologi nano," jelasnya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp