No Image Caption

Yusuf Taiyoob sumbang kelengkapan persekolahan kepada pelajar miskin 

MOHAMAD AMREEL IMAN ABD MALEK
22 Sep 2023 05:22pm
A
A
A



Seramai 50 pelajar miskin yang tinggal berdekatan Universiti Utara Malaysia (UUM) akan dipilih untuk menerima kelengkapan persekolahan sumbangan Pengarah Urusan Yusuf Taiyoob Sdn Bhd, Datuk Seri Yusuf Taiyoob.

Pemilihan pelajar berkenaan akan dilakukan Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan (SEFB) UUM bagi meringankan beban keluarga yang berpendapatan rendah pada hujung tahun ini.

Menurut Yusuf, dia menyokong usaha yang dilakukan SEFB dalam membantu golongan berpendapatan rendah di sekitar UUM untuk membeli peralatan persekolahan anak-anak.

Malah dia juga mengharapkan 10 mahasiswa UUM yang menerima Biasiswa Pendidikan Yusuf Taiyoob Sdn Bhd dengan dana keseluruhan sebanyak RM280,000 turut serta menjalankan pelbagai aktiviti komuniti kepada pelajar yang berdekatan dengan UUM.

Beliau berkata demikian semasa pertemuan bersama Dekan SEFB, Profesor Madya Dr Bakti Hassan Basri di pejabatnya baru-baru ini.

Hadir sama dalam kunjungan hormat menyerahkan laporan aktiviti dan pencapaian SEFB ke pejabat Yusuf adalah Pegawai Tadbir SEFB, Hasliza Hassan; Pengerusi Program Perniagaan Tani, Dr Nur Adeelah Ahmad Tantowi dan Pengerusi Program Kewangan SEFB, Dr Nur Hafizah Ismail.

Dalam kunjungan hormat itu, Yusuf yang juga Profesor Adjung SEFB menyerahkan cek cura kepada Bakti berjumlah RM3,600 untuk menaja program penanaman pokok bakau di Kampung Simpang Kuala, Jitra, Kedah pada 24 Oktober ini.

Dalam perkembangan sama, Bakti berkata, Yusuf yang dikenali sebagai Raja Kurma Malaysia turut bersedia membantu memasarkan program pengajian kepada pelajar Tunisia dan program Summer Camp anjuran UUM.

Artikel Berkaitan:


“Beliau (Yusuf) merupakan Konsul Kehormat Republik Tunisia dan telah menyatakan kesediaan membantu SEFB dan UUM untuk mendapatkan pelajar datang ke Malaysia.

“Pertemuan ini bukan sahaja untuk memaklumkan segala perkembangan SEFB yang sangat dekat di hatinya, bahkan kami gembira kerana beliau sudi membantu apa sahaja atas kapasitinya,” kata Bakti.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok