Sebagai anak muda, Zahrah mendapat pujian ramai kerana berjaya mengetuai bengkel Asas Penyuntingan Canva di Surau An-Nur Villa Mutiara dengan begitu baik sekali.
Sebagai anak muda, Zahrah mendapat pujian ramai kerana berjaya mengetuai bengkel Asas Penyuntingan Canva di Surau An-Nur Villa Mutiara dengan begitu baik sekali.

Zahrah inspirasi anak muda pacu ilmu digital dalam masyarakat

ROSHLAWATY MD RAIEHROSHLAWATY MD RAIEH
17 Dec 2024 11:08am

"Mahasiswa perlu menjadi modal insan holistik, bukan sahaja cemerlang akademik tetapi juga aktif dalam menyumbang bakti kepada masyarakat."

Demikian kata mahasiswa Tahun Dua, Sarjana Muda Harta Tanah, Fakulti Alam Bina, Universiti Malaya (UM), Fatimatul Zahrah Mohd Zainal kepada Sinar Bestari.

Ujarnya, anak muda hari ini terutamanya yang masih bergelar penuntut, perlu menyumbang bakti kepada masyarakat dengan cara yang kreatif dan bermakna.

Sebagai contoh, beliau yang mengetuai penganjuran bengkel Asas Penyuntingan Canva di Surau An-Nur Villa Mutiara, Beranang, Selangor baru-baru ini, dilihat telah berjaya menarik masyarakat untuk menyertai program bermanfaat itu.

"Teknologi moden bukan lagi pilihan tetapi keperluan. Melalui bengkel ini, saya mahu masyarakat celik teknologi dan menggunakan platform seperti Canva untuk meningkatkan kemahiran rekaan digital,” ujarnya yang mesra disapa Zahrah.

No Image Caption

Bengkel yang dianjurkan dengan kerjasama penuntut UM dan Surau An-Nur Villa Mutiara dihadiri peserta daripada pelbagai latar belakang dan usia termasuk kanak-kanak seawal 12 tahun hingga warga emas berusia 69 tahun.

Menurut Zahrah, bengkel Asas Penyuntingan Canva bukan sekadar program semata-mata sebaliknya ia langkah kecil ke arah perubahan besar dalam menghubungkan masyarakat melalui ilmu, teknologi dan rasa tanggungjawab sosial.

"Usaha ini adalah sebahagian daripada tanggungjawab sosial mahasiswa dan individu Muslim kepada masyarakat.

"Kita dituntut untuk berkongsi ilmu dan bersedekah. Mungkin kecil bagi kita, tetapi besar nilainya bagi mereka yang memerlukan. Sedekah adalah pelaburan akhirat yang tidak pernah rugi,” ujarnya.

No Image Caption

Akhir sekali, Zahrah berkata, selain membangunkan kemahiran teknologi peserta, bengkel itu turut membawa misi murni iaitu menggalakkan sumbangan orang ramai untuk tabung pembangunan Surau An-Nur Villa Mutiara.

"Sumbangan yang dikumpul akan digunakan untuk memperbaiki dan menaiktaraf kemudahan surau demi manfaat masyarakat setempat,” ujar Zahrah.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp