IMSO bertujuan meningkatkan kecemerlangan akademik dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik, sambil memupuk persahabatan antarabangsa melalui pendidikan. Foto: Jabatan Pendidikan Negeri Kedah
IMSO bertujuan meningkatkan kecemerlangan akademik dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik, sambil memupuk persahabatan antarabangsa melalui pendidikan. Foto: Jabatan Pendidikan Negeri Kedah

400 murid dari 23 negara sertai IMSO 2025

08 Oct 2025 12:30pm

Seramai 400 murid sekolah rendah dari 23 negara dari benua Asia, Eropah, Afrika dan Amerika menyertai International Mathematics and Science Olympiad (IMSO) 2025 kali ke-22 di Al-Bukhary International University (AIU), Alor Setar, Kedah. 

Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah memaklumkan IMSO 2025 yang berlangsung selama lima hari bermula 5 hingga 9 Oktober, merupakan satu kejohanan akademik bertaraf antarabangsa disertai murid berusia 13 tahun dan ke bawah.

"IMSO bertujuan meningkatkan kecemerlangan akademik dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), sambil memupuk persahabatan antarabangsa melalui pendidikan. Ia juga membangunkan kemahiran berfikir aras tinggi, kreativiti dan inovasi melalui penyelesaian masalah dan eksperimen.

"Ia juga menjadi platform awal bagi mencungkil potensi peserta untuk menyertai pertandingan antarabangsa lain seperti International Physics Olympiad (IPhO), International Chemistry Olympiad (IChO) dan International Biology Olympiad (IBO)," katanya.

Menurut JPN, edisi kali ini juga membawa keunikan tersendiri apabila pelaksanaannya bukan sahaja menumpukan kepada pertandingan akademik malah menggabungkan unsur pendidikan, budaya dan pelancongan.

"Banyak program dan aktiviti diadakan antaranya seminar dan pertandingan antarabangsa guru-guru bertemakan STEM dan Inovasi Pendidikan Global, aktiviti STEM di Pusat Sains Negara Wilayah Utara, malam kebudayaan antarabangsa dan lawatan pelancongan dan budaya ke Menara Alor Setar serta Muzium Padi.

"IMSO ini bukan sekadar pertandingan tetapi satu manifestasi semangat dan menyatukan murid-murid cemerlang dunia di bawah payung pendidikan yang berkualiti, inovasi dan nilai kemanusian sejagat," katanya. - Bernama

 

Artikel Berkaitan:

 

Ringkasan AI

  • Sebanyak 400 murid sekolah rendah dari 23 negara menyertai International Mathematics and Science Olympiad (IMSO) 2025 di Al-Bukhary International University
  • IMSO 2025 berlangsung selama lima hari dari 5 hingga 9 Okt bertujuan meningkatkan kecemerlangan dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik
  • Kejohanan ini juga membangunkan kemahiran berfikir aras tinggi, kreativiti dan inovasi melalui penyelesaian masalah
  • Menjadi platform bagi peserta untuk menyertai pertandingan antarabangsa lain di masa depan
  • Edisi kali ini menggabungkan unsur pendidikan, budaya dan pelancongan termasuk seminar, aktiviti STEM dan lawatan pelancongan
Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp