Galeri sejarah awal penubuhan SK Kampung Baharu bentuk jati diri murid
Penubuhan galeri Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Baharu, Kuala Besut, Terengganu menarik minat warganya untuk mendalami sejarah awal penubuhan sekolah sekali gus membentuk jati diri murid.
Guru Besar, Mohd Khairuzzaman Abas berkata, cetusan idea bagi penubuhan galeri itu bermula sejak Januari tahun lalu.
Menurutnya, galeri tersebut boleh dimanfaatkan oleh murid bagi menambah pengetahuan mengenai latar belakang sekolah dan pencapaiannya.
"Menyedari kepentingan tersebut, pihak sekolah telah mengambil inisiatif mewujudkan Bilik Galeri Sejarah.
"Ia berperanan sebagai pusat setempat untuk mengenali sejarah penubuhan sekolah, perkembangan dan kemajuannya serta personaliti yang telah bekerjasama membangunkan sekolah.
"Ia juga membolehkan warga sekolah menambah pengetahuan mengenai peristiwa sekolah dan persekitarannya," katanya sempena Majis Perasmian SeBARU Gallery & Cafe pada Selasa.
Hadir sama, bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohamad yang merupakan anak kepada pengasas sekolah, Mohamad Ismail.
Mohamad merupakan guru pertama sekolah itu bermula sejak 1 April 1951 sehingga 1954.
Pada peringkat awal, sekolah tersebut dikenali sebagai Sekolah Melayu Kg Baharu, ditubuhkan atas kesedaran kepentingan pendidikan terhadap penduduk kampung.
Sekolah Melayu Kampung Baharu ditubuhkan pada 1 Ogos 1950 di atas sebidang tanah yang diwakafkan penghulu kampung, Ismail Muhammad yang juga bapa kepada Mohamad.
Sementara itu, Wan Ahmad Najmuddin berkata, beliau berbesar hati atas pembukaan galeri tersebut kerana ia memaparkan sejarah sekolah dan tanah air.
"Saya amat berbesar hati dan berbangga dengan penubuhan galeri ini kerana ia dapat memaparkan dan menyingkap sejarah sekolah.
"Dengan adanya galeri ini, ia dapat melahirkan kesedaran dalam kalangan generasi muda untuk menghayati sejarah seterusnya mencintai budaya dan warisan ditinggalkan," ujarnya yang merupakan antara generasi awal sekolah berkenaan.