Murid Tahun 2 trauma dakwa dicubit guru sehingga berbekas
Seorang murid Tahun Dua sebuah sekolah agama di Langkawi mengalami trauma dan enggan ke sekolah selepas dakwa dicubit guru sehingga meninggalkan bekas.
Ibunya, Puteri Sheryl Emyra Rosli @ Rosman, 34, berkata, anaknya yang dikenali sebagai Hafiz itu dicubit dua kali di lengan dalam dua kejadian berasingan oleh guru wanita yang sama.
Menurutnya, kejadian pertama berlaku pada Ogos lalu dan yang terbaharu pada 16 Disember baru-baru ini dengan alasan anaknya bising dalam kelas.
"Selain kena cubit, anak saya sebelum itu pernah didenda ketuk ketampi sebanyak 50 kali oleh guru berlainan. Bagaimana pun isu terbabit diselesaikan dengan baik bersama pihak sekolah," katanya.
Jelasnya, hatinya luluh apabila anaknya yang periang berubah menjadi pendiam, mudah menangis dan tidak mahu ke sekolah.
"Dia juga ada perilaku aneh apabila selalu menggigit leher bajunya seperti tertekan. Cikgu tu cubit lengan anak sampai terkeluar kulit jadi bila kena air anak saya menangis kerana pedih," ujarnya.
Dalam pada itu, Puteri Sheryl Emyra berkata, dia juga telah membuat laporan polis agar satu siasatan yang telus dapat dilakukan.
"Selepas saya nampak lebam pada tangan anak, saya terus buat laporan polis dan juga pemeriksaan kesihatan. Saya juga sudah berjumpa dengan pengurusan sekolah untuk mendapatkan pencerahan tentang kes ini.
"Bagaimanapun, jawapan yang saya terima sangat mengecewakan. Sekolah beri alasan lebam di tangan Hafiz itu disebabkan anak saya cuba menyakiti dirinya sendiri.
"Saya kenal anak saya, dia takkan sakiti dirinya sendiri. Apa yang lebih mengecewakan sehingga hari ini saya langsung tidak menerima permohonan maaf dari seorang guru pun," jelasnya.
Menurutnya, dia mahukan keadilan buat anaknya memandangkan kejadian terbabit telah menjejaskan kualiti hidup anaknya yang baharu berusia lapan tahun dan berharap pihak yang bertanggungjawab bersikap tidak lepas tangan dalam isu terbabit.