Ustaz Quszaini (berdiri dua dari kiri) bergambar kenangan bersama murid Tahun Satu.
Ustaz Quszaini (berdiri dua dari kiri) bergambar kenangan bersama murid Tahun Satu.

Guna pendekatan muzik dalam bahasa Arab, murid lebih seronok dan mudah faham

AZLEENDA SAHALUDINAZLEENDA SAHALUDIN
05 May 2023 05:15pm

Muzik dan nyanyian merupakan salah satu pendekatan yang boleh digunakan para guru dalam proses Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) dan dilihat mampu meningkatkan pelbagai aspek perkembangan serta kemahiran murid.

Mana tidaknya dengan alunan muzik serta nyanyian ini bukan sahaja menjadikan proses PdP lebih menyeronokkan tetapi turut menyumbang kepada kefahaman murid dalam sesuatu topik yang dipelajari.

Perkara ini telah dibuktikan guru bahasa Arab Sekolah Kebangsaan (SK) Pasukan Polis Hutan, Perak, Ustaz Quszaini Abd Manan, yang mengambil pendekatan pengaruh muzik dalam mengajar bahasa al-Quran itu di sekolahnya.

Kata Ustaz Quszaini, muzik boleh diibaratkan sebagai pelengkap dalam bahasa Arab kerana mempunyai aura tersembunyi bagi menarik perhatian murid untuk lebih meminati bahasa itu.

Ustaz Quszaini (berdiri dua dari kiri) bergambar kenangan bersama murid Tahun Satu.
Ustaz Quszaini (berdiri dua dari kiri) bergambar kenangan bersama murid Tahun Satu.

“Muzik boleh dijadikan sebagai salah satu induksi bagi meraih minat dan perhatian murid selain mengikis persepsi tentang kesukaran mempelajari bahasa Arab.

“Malah dengan menerapkan nyanyian lagu masa kini seperti lagu cucur adabi yang sering dimainkan di televisyen dan radio dapat membantu memudahkan mereka lebih memahami dan mempelajari bahasa ini.

“Jika ditanya apakah mata pelajaran yang paling seronok untuk dipelajari, hampir keseluruhan murid akan menjawab ‘saya suka bahasa Arab’,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, penggunaan teknik muzik ke dalam PdP bahasa berkenaan turut mendatang kesan positif kepada murid antaranya mewujudkan semangat dan kesepaduan antara murid untuk menyiapkan satu tugasan yang diberikan; tumpuan pengajaran guru terhadap murid lebih terarah dan konsisten; menarik lebih ramai murid meminati bahasa Arab dan tiada konsep marah dan merunsingkan dalam kelas memandangkan murid lebih lapang dan santai untuk belajar mengikut arahan serta disiplin ilmu yang disampaikan oleh guru.

Sementara itu, murid Tahun Tiga sekolah berkenaan, Asma’ Humaira Mohmamad Sollehuddine juga memberitahu, apabila masuk sahaja ke kelas dan dapat menyanyi bersama-sama akan menimbulkan semangat dalam dirinya dan rakan-rakan untuk menerima ilmu pada hari tersebut.

“Dengan adanya teknik pengajaran baharu oleh ustaz ini, kami bukan sahaja seronok tetapi dapat mengurangkan tekanan pembelajaran yang dihadapi ketika kelas sebelumnya.

“Selain itu, kami juga dapat menerima ilmu dengan mudah sekiranya proses PdP lebih santai dan menyeronokkan,” tuturnya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp