Dari kiri: Muhammad Afif Akmal, Nurlyana Zahratun Nisa, Puteri Qairah Natasha, Amanda Dania dan Arissa Husna yang berjaya menghasilkan sabun kecantikan berasaskan nanas.
Dari kiri: Muhammad Afif Akmal, Nurlyana Zahratun Nisa, Puteri Qairah Natasha, Amanda Dania dan Arissa Husna yang berjaya menghasilkan sabun kecantikan berasaskan nanas.

Inovasi sabun nanas murid SK Seri Kampung Tengah buat ramai teruja!

ROSHLAWATY MD RAIEHROSHLAWATY MD RAIEH
21 Aug 2024 09:29am
A
A
A

Keupayaan untuk berfikir secara kreatif dan menghasilkan idea baharu bukan sahaja memperkaya pengalaman pembelajaran seorang pelajar, tetapi juga mempersiapkan diri mereka dalam menghadapi masa depan yang penuh persaingan.

Baru-baru ini, sekumpulan murid Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Kampung Tengah, Kluang, Johor berjaya menghasilkan sabun kecantikan berasaskan nanas sebagai persediaan mereka untuk sesi perkongsian dan menyertai pelbagai pertandingan inovasi kelak.

Guru pembimbing, Noor Halini Allias berkata, sabun itu dihasilkan pada Julai lalu dan nanas dipilih disebabkan pelbagai faktor.

“Pertama kerana Johor merupakan pengeluar utama nanas di negara ini, sekali gus memberi peluang kami mengetengahkan keistimewaan negeri ini kepada orang ramai.


Sabun kecantikan nanas mempunyai banyak kelebihan antaranya kaya dengan nutrien dan vitamin C serta mempercepatkan pemulihan luka atau parut.
Sabun kecantikan nanas mempunyai banyak kelebihan antaranya kaya dengan nutrien dan vitamin C serta mempercepatkan pemulihan luka atau parut.

“Selain itu, nanas kaya dengan nutrien dan vitamin C, mempercepatkan pemulihan luka dan parut, merendahkan risiko kanser, membantu mengawal tekanan darah serta mengurangkan gejala-gejala artritis,” katanya kepada Sinar Bestari.

Beliau berkata, sabun kecantikan tersebut merupakan hasil inovasi lima murid Tahun Enam iaitu Arissa Husna Ashraf, Amanda Dania Mohd Faizal, Nurlyana Zahratun Nisa Mohd Hafiz, Puteri Qairah Natasha Mohd Khirry dan Muhammad Afif Akmal Abd Yazid.

“Saya gembira mereka berjaya menyiapkan inovasi dalam tempoh ditetapkan. Kejayaan ini mencerminkan kemampuan mereka untuk berfikir di luar kotak, mengaplikasikan pengetahuan yang dipelajari dan menunjukkan kesungguhan serta ketekunan dalam menyelesaikan sesuatu projek,” katanya yang berganding bahu dengan Faridah Md Yusof sebagai guru pembimbing.

Berkongsi mengenai kegunaan sabun itu, Noor Halini berkata, ia boleh digunakan sebagai pencuci muka dan badan.


Sabun berasaskan nanas yang dihasilkan juga boleh digunakan untuk mencuci tangan.
Sabun berasaskan nanas yang dihasilkan juga boleh digunakan untuk mencuci tangan.

Tambah beliau, sabun tersebut bertindak meremajakan kulit dan menjadikan ia lebih bersih, cerah dan segar, selain membantu mempercepatkan pemulihan luka atau parut.

Katanya, sabun berasaskan nanas itu akan dipasarkan kepada orang ramai sebagai salah satu usaha mempromosikan hasil murid-murid SK Seri Kampung Tengah.

“Dengan bantuan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta pihak berkaitan, saya yakin sabun kecantikan nanas ini boleh pergi jauh. Lagipun, ia telah dibentangkan kepada warga Sekolah Dasar Negeri 001 Batam, Indonesia pada 10 Ogos lalu, ketika siri lawatan sekolah.

“Alhamdulillah, maklum balas yang diterima sangat positif dan ini adalah satu penghargaan dan sokongan tidak berbelah bahagi yang diberikan mereka kepada kami,” ujarnya.

No Image Caption

Sebelum sabun berasaskan nanas, kumpulan inovasi SK Seri Kampung Tengah telah menghasilkan sabun berasaskan betik dan inovasi bakau yang memenangi banyak anugerah.

Antaranya pertandingan International Invention, Innovation & Design Competition (i3DC), International Creative Innovation Idea Competition (ICIIC), I Can Schools Challenge dan wakil Malaysia ke Persidangan I Can Children's Global Summit (ICCGS) di Ahmedabad, India tahun lepas.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok