Guru pengiring dan pelajar meraikan kemenangan mereka dengan mengibarkan Jalur Gemilang.
Guru pengiring dan pelajar meraikan kemenangan mereka dengan mengibarkan Jalur Gemilang.

Pelajar SK Permatang Keledang gegar pentas International Robot Olympiad ke-26

NURBAYA ABDUL REZAKNURBAYA ABDUL REZAK
23 Jan 2025 04:30pm

Nama Sekolah Kebangsaan (SK) Permatang Keledang, Pahang bergema satu dewan apabila diumumkan sebagai pemenang bagi Kategori Kreatif Junior (Technic) di International Robot Olympiad ke-26 di Busan, Korea Selatan.

Pertandingan peringkat antarabangsa yang berlangsung selama dua hari bermula 18 Januari itu, memberikan peluang kepada para peserta untuk bekerjasama menyelesaikan masalah dunia sebenar menerusi robotik.

Ia sekali gus membentuk generasi pemimpin masa depan yang peka akan perkembangan industri dan teknologi.

Pelajar SK Permatang Keledang, Matthew Jambai, 12, berkongsi keterujaan menerusi pertandingan itu yang mengangkat nama sekolahnya sekali gus negara Malaysia.

"Melalui bengkel dan program ini, saya telah belajar membina dan mengawal robot, dan pengalaman ini sangat menyeronokkan.

"Saya berasa bangga kerana dapat bertanding di pertandingan ini dan saya ingin menjadi seorang guru pada masa depan untuk memberi inspirasi kepada orang lain dalam bidang robotik," kongsianya kepada Sinar Bestari pada Khamis.

Sementara itu, guru pengiring, Mohd Zulkhairi berkata, kejohanan seperti ini akan memberikan inspirasi kepada lebih ramai pelajar untuk meminati pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

"Terima kasih kepada Petrosains kerana menganjurkan program Petrosains Tech4All untuk pelajar Orang Asli.

Artikel Berkaitan:

"Saya dapat menyaksikan peningkatan yang luar biasa dari segi keyakinan dan kemahiran pelajar dalam pembelajaran robotik," katanya.

Pasukan Malaysia di pentas International Robot Olympiad ke-26, Busan, Korea.
Pasukan Malaysia di pentas International Robot Olympiad ke-26, Busan, Korea.

Untuk rekod, International Robot Olympiad ke-26 menyaksikan dua lagi penyertaan pasukan dari Malaysia yang diwakili pelajar SK Kampong Layau, Johor dan SK Sri Permai, Kelantan.

Seramai sembilan pelajar Orang Asli bersaing dalam Kategori Kreatif Junior yang mana mereka ditugaskan mencipta dan membentangkan penyeleaian robotik bagi menangani cabaran dunia sebenar.

Pelajar SK Kampong Layau, Muhammad Fahrin Ammar, 11, berkata, pengalaman itu telah mengubah hidupnya.

"Pada mulanya, saya tidak berminat dengan robotik tetapi mula menyukainya selepas menyertai bengkel Petrosains Tech4All dan pertandingan ini.

"Saya belajar berkomunikasi dengan lebih baik, mengenali kawan baharu dan keyakinan diri pun meningkat. Gembira sangat kerana dapat mewakili Malaysia dan membanggakan keluarga," katanya yang juga merupakan anak nelayan.

Seorang lagi peserta dari SK Sri Permai, Suzie Kidiee, 11, berkongsi bahawa perjalanan robotiknya bermula menerusi galakan guru untuk menyertai program Petrosains Tech4All.

"Sebelum ini, saya merasakan pengaturcaraan mencabar tetapi kini dapat menguasainya selepas menyertai bengkel Petrosains Tech4All dan Petrosains RBTX Challenge 2024, yang membantu membuka potensi untuk berinovasi dan mencipta.

"Saya ingin menjadi seorang guru untuk memberi inspirasi kepada orang lain untuk berinovasi dan mencapai impian mereka," kata Suzie yang pertama kali menjejakkan kaki ke negara terkenal dengan K-pop itu.

Gelagat pelajar Malaysia yang menyertai International Robot Olympiad ke-26 baru-baru ini.
Gelagat pelajar Malaysia yang menyertai International Robot Olympiad ke-26 baru-baru ini.

Inisiatif belajar robotik dan STEM

Perjalanan peserta-peserta ini bermula dengan program Petrosains Tech4All, sebuah inisiatif dengan kerjasama Makers@IIUM, direka khas memperkenalkan pelajar-pelajar Orang Asli atau peribumi kepada pembelajaran robotik dan STEM melalui aktiviti pembangunan kemahiran secara praktikal.

Para pelajar seterusnya menyertai Petrosains RBTX Challenge 2024, di bawah subkategori baharu iaitu Inovasi: Budaya Orang Asli dan Teknologi. Pertandingan ini mencabar pelajar untuk mengaplikasikan pengetahuan STEM dalam mencipta penyelesaian lestari.

Berikutan kejayaan mereka dalam Petrosains RBTX Challenge 2024, pasukan telah menerima jemputan International Robot Olympiad Committee untuk bertanding dalam International Robot Olympiad ke-26.

Ketua Pegawai Eksekutif Petrosains Sdn Bhd, Ezarisma Azni Mohamad berkata, sebagai badan impak sosial Petronas, Petrosains amat berbesar hati kerana diberi amanah mendemokrasikan pendidikan STEM dalam kalangan komuniti khasnya pelajar.

"Melalui program-program seperti Petrosains RBTX Challenge dan Petrosains Tech4All, kami ingin memupuk minat yang lebih mendalam terhadap pendidikan STEM, menggalakkan komuniti meneroka dan memanfaatkan peluang-peluang transformasi yang ditawarkan oleh STEM," katanya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp