Gimik pelancaran DELIMa 2.0 SK Bukit Kapar oleh Azizah (kiri). Turut kelihatan, Cikgu Afiq Fikrie (dua dari kiri).
Gimik pelancaran DELIMa 2.0 SK Bukit Kapar oleh Azizah (kiri). Turut kelihatan, Cikgu Afiq Fikrie (dua dari kiri).

Pelantar DELIMa 2.0: Pemangkin murid fasih digital

11 Mar 2025 04:48pm

Kemahiran digital merupakan salah satu keperluan asas bagi setiap murid dalam dunia yang semakin berkembang pesat dengan teknologi.

Seiring dengan aspirasi Dasar Pendidikan Digital (DPD), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah memperkenalkan Digital Educational Learning Initiative Malaysia (DELIMa) yang merupakan pelantar sehenti untuk semua keperluan pendidikan seperti sumber, panduan dan maklumat untuk murid, guru serta ibu bapa.

Baru-baru ini, DELIMa menerusi DELIMa 2.0 telah ditambah baik bagi memastikan murid mendapat akses kepada pendidikan berkualiti dengan lebih mudah dan efektif.

Menyedari kepentingan itu, Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Kapar, Selangor mengadakan Majlis Pelancaran DELIMa 2.0 yang dirasmikan Guru Besar, Azizah Mat.

Dalam ucapan perasmiannya, beliau menekankan kepentingan pendidikan digital dalam membentuk generasi yang lebih inovatif dan berdaya saing.

Dua murid dipilih sebagai pengerusi majlis bagi memastikan program berjalan lancar.
Dua murid dipilih sebagai pengerusi majlis bagi memastikan program berjalan lancar.

"Sebagai pendidik, kita harus peka terhadap perubahan zaman.

"Dunia pendidikan hari ini menuntut guru-guru untuk lebih kreatif, inovatif dan responsif dalam mendidik anak-anak generasi digital.

Artikel Berkaitan:

"DELIMa 2.0 bukan sekadar platform pembelajaran dalam talian tetapi ia merupakan ekosistem digital yang menyediakan pelbagai sumber pembelajaran berkualiti,” katanya.

Azizah berkata, DELIMa 2.0 bukan sekadar alat untuk pembelajaran secara online tetapi ia adalah satu langkah penting dalam membina budaya pembelajaran digital di sekolah.

"Dengan pelbagai aplikasi dan sumber seperti Google Classroom, Quizziz dan Kahoot, murid-murid dapat belajar secara lebih interaktif.

"Ini bukan sekadar pembelajaran biasa sebaliknya sebagai satu transformasi ke arah pendidikan abad ke-21," jelasnya.

Barisan guru SK Bukit Kapar bagi sesi pagi dalam Majlis Pelancaran DELIMa 2.0.
Barisan guru SK Bukit Kapar bagi sesi pagi dalam Majlis Pelancaran DELIMa 2.0.

Tambah Azizah lagi, kemahiran digital bukan sekadar tahu menggunakan teknologi sahaja tetapi pengguna harus memahami bagaimana menggunakannya secara bertanggungjawab, kreatif dan inovatif.

"Murid dapat mengembangkan kemahiran penyelesaian masalah, komunikasi digital serta literasi maklumat yang sangat penting dalam dunia moden melalui penerapan DELIMa 2.0.

"Justeru, saya berharap semua warga sekolah akan memanfaatkan DELIMa 2.0 dengan sebaiknya.

"Kepada guru-guru, gunakanlah platform ini sebagai alat bantu pengajaran yang lebih interaktif dan menyeronokkan. Murid-murid pula, manfaatkan teknologi berkenaan untuk menimba ilmu secara lebih kreatif,” ujarnya.

Sekitar pelancaran DELIMa 2.0 di Dataran Warisan, SK Bukit Kapar.
Sekitar pelancaran DELIMa 2.0 di Dataran Warisan, SK Bukit Kapar.

Semoga dengan pelancaran DELIMa 2.0 ini, lebih ramai murid dan guru akan mendapat manfaat daripada teknologi digital.

Ini kerana, inisiatif berkenaan dapat melahirkan generasi bukan sahaja fasih digital tetapi mampu berdaya saing dalam era digitalisasi global sejajar dengan matlamat Dasar Pendidikan Digital.

Maklumat Penulis:

Penyelaras DELIMa SK Bukit Kapar, Cikgu Afiq Fikrie Mohmad

Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp