PBD memainkan peranan penting dalam mengukur kemajuan dan pencapaian murid dalam mata pelajaran masing-masing. Gambar kecil: Hanifah.
PBD memainkan peranan penting dalam mengukur kemajuan dan pencapaian murid dalam mata pelajaran masing-masing. Gambar kecil: Hanifah.

PBD wahana pembentukan karakter murid dalam kurikulum persekolahan 2027

04 Feb 2025 08:30am

Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) merupakan pentaksiran yang berterusan dalam sesi pengajaran dan pembelajaran bagi mendapatkan maklumat tentang perkembangan, kemajuan, kebolehan dan pencapaian murid.

Ia mula dilaksanakan pada tahun 2016 dan meliputi semua mata pelajaran peringkat KSSR dan KSSM.

PBD memainkan peranan penting dalam mengukur kemajuan dan pencapaian murid dalam mata pelajaran masing-masing.

Dengan menggunakan pelbagai instrumen penilaian seperti ujian, tugasan dan projek, PBD memberikan gambaran yang lebih komprehensif tentang pemahaman murid terhadap apa yang dipelajari dalam kelas.

Peranan guru sangat penting dalam perlaksanaan PBD untuk memberi pemahaman terhadap ilmu pengetahuan dan bertindak sebagai pemudah cara yang berfungsi mendorong diskusi, kolaborasi dan refleksi dalam kelas.

Hal amat ini penting bagi pembentukan sikap dan emosi murid. Malah, guru yang sememangnya mengenali murid yang diajarnya akan tulus melaksanakan proses bimbingan agar keupayaan dan potensi murid dapat dipertingkatkan pada skala yang sewajarnya.

Menjelang tahun 2027, satu kurikulum pendidikan baharu bakal dilaksanakan di Malaysia yang dikenali sebagai Kurikulum Persekolahan 2027.

Kurikulum ini dirangka oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan merupakan salah satu usaha kementerian bagi menambah baik sistem pendidikan di Malaysia pada masa kini.

Artikel Berkaitan:

Menteri Pendidikan, Fadlina Sidek berkata, kerangka kurikulum ini akan berorientasikan kompetensi yang menggalakkan pembelajaran aktif murid dan menyediakan pengalaman pembelajaran serta penilaian yang lebih autentik serta bermakna.

Peranan guru sebagai pemudah cara mampu membina hubungan erat antara guru, murid, ibu bapa dan sekolah.
Peranan guru sebagai pemudah cara mampu membina hubungan erat antara guru, murid, ibu bapa dan sekolah.

Melalui kurikulum ini, tiga pendekatan baharu diperkenalkan. Satunya ialah Pembentukan Karakter yang bertujuan membentuk individu ke arah pembentukan warganegara Malaysia yang sejahtera, beradab, bertanggungjawab dan berdaya saing pada peringkat global.

Kewujudan elemen pembentukan karakter dalam setiap tahap persekolahan merupakan isyarat yang jelas mempamerkan hasrat KPM untuk melahirkan 'Insan Sejahtera', iaitu insan yang mengamalkan kehidupan seimbang dalam segala aspek, sentiasa membudayakan pembelajaran sepanjang hayat dan menghargai perpaduan dan keharmonian kaum serta menghormati kepelbagaian.

Justeru, PBD adalah wahana penting untuk mencapai Insan Sejahtera. Peranan guru sebagai pemudah cara mampu membina hubungan erat antara guru, murid, ibu bapa dan sekolah.

Guru faham keperluan dan kebolehan setiap murid dan mampu memberikan sokongan serta bimbingan yang terbaik.

Melalui pendekatan interaktif, penilaian holistik, dan bimbingan efektif dalam PBD, guru boleh memotivasikan murid bagi mewujudkan ekosistem pembelajaran yang baik, akhirnya membawa kepada pembentukan sikap, emosi, kepercayaan yang lebih positif dalam kalangan murid.

Ia menyumbang kepada pembentukan karakter yang baik bagi melahirkan 'Insan Sejahtera' seperti yang hasratkan.

Oleh yang demikian, diharapkan melalui Kurikulum Persekolahan 2027 ini, sistem pendidikan Malaysia mampu menyediakan generasi yang kompeten, bersahsiah, kukuh jati diri, berdaya tahan dan kalis masa hadapan serta mampu membentuk generasi Madani.

Maklumat Penulis

Penyelidik Pusat Penyelidikan Pedagogi & Inovasi (CPRI) dan pensyarah di Jabatan Geografi dan Alam Sekitar, Fakulti Sains Kemanusiaan, Universiti Pendidikan Sultan Idris, Profesor Madya Dr Hanafiah Mahat

Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp