Murid Sekolah Rendah Islam Saidina Abu Bakar As-Siddiq (SRISAAS).
Murid Sekolah Rendah Islam Saidina Abu Bakar As-Siddiq (SRISAAS).

Penerapan disiplin antara penyumbang SRISAAS, TISAAS raih anugerah kecemerlangan

AZLEENDA SAHALUDIN
21 Feb 2023 04:28pm
A
A
A

Melihat kepada usaha melahirkan insan yang berkebolehan sama ada dalam akademik serta kokurikulum adalahpenting untuk memberi pendedahan tentang keseimbangan antara kedua-duanya.

Ini kerana kokurikulum juga merupakan sebahagian daripada proses pembelajaran yang berlaku di luar bilik darjah bagi membantu murid menambah, mengukuh dan mengamalkan kemahiran serta nilai murni.

Malah penerapan nilai murni dan disiplin dalam diri mereka seawal dari kecil juga penting bagi melahirkan insan yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik tetapi mempunyai keperibadian serta perwatakan sahsiah lebih baik.

Penerapan ini terbukti membuahkan hasil apabila Sekolah Rendah Islam Saidina Abu Bakar As-Siddiq (SRISAAS) dan Tadika Saidina Abu Bakar As-Siddiq (TISAAS), Selangor, telah merangkul pelbagai anugerah kecemerlangan.

Rahilah Akhtar Husin
Rahilah Akhtar Husin

Menurut Guru Besarnya, Rahilah Akhtar Husin, sekolah amat menitikberatkan penerapan disiplin dalam kalangan murid sebagai usaha membentuk sahsiah selain meningkatkan prestasi kecemerlangan akademik masing-masing.

Tambahnya, SRISAAS dan TISAAS telah menggunakan kaedah holistik dalam mendidik murid dengan mengajar mereka untuk menghafal bacaan doa dan surah pilihan yang terdapat dalam buku Muraqibun selain mengajar cara hafazan dengan betul.

“Sekolah telah mengadakan pelbagai program seperti perkampungan dan tuisyen yang diterapkan dalam sistem pembelajaran untuk Tahun Lima dan Enam.

Artikel Berkaitan:

“Ia bukan sahaja mendapat kerjasama daripada ibu bapa malah komunikasi dua hala antara mereka dan guru sedikit sebanyak membantu memudahkan proses pembelajaran anak-anak,” katanya.

Ujar Rahilah, pihaknya sentiasa berusaha untuk meningkatkan lagi prestasi murid serta mengorak langkah dalam memberikan yang terbaik dengan merancang strategi meningkatkan prestasi dan kualiti pengajaran dan pembelajaran (PdP).

SRISAAS dan TISAAS merupakan sebuah sekolah rendah berdaftar di bawah pendidikan dan pelajaran Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) yang ditubuhkan pada 1988.

Sejak awal penubuhannya, sekolah tersebut telah berjaya melahirkan penuntut Islam yang berjaya dalam akademik dan sahsiah dengan peratusan kelulusan pencapaian 100 peratus bagi keputusan Penilaian Sekolah Rendah Agama (PSRA) setiap tahun.

Malah teknik yang digunakan dalam PdP juga lebih sistematik dilengkapi dengan silibus tambahan sebagai pelengkap untuk melahirkan murid Islam yang berkualiti.

Untuk itu, Sinar Bestari ingin kongsikan antara anugerah kecemerlangan yang telah diraih oleh SRISAAS dan TISAAS supaya dapat dijadikan contoh buat sekolah lain.

Jom baca!

1) Anugerah Sekolah Cemerlang Peringkat Negeri Selangor PSRA 2009.

2) Anugerah Prestasi Terbaik Keseluruhan PSRA 2010 Pangkat Pertama Daerah Gombak.

3) Anugerah Sekolah Terbaik Kelompok PSRA 2010 bagi Zon Kelompok Sekolah Swasta Daerah Gombak

4) Anugerah Lima Mata Pelajaran Terbaik PSRA 2010 bagi Zon Kelompok Sekolah Swasta Daerah Gombak untuk mata pelajaran Imlak dan Khat; Bahasa Arab; Tauhid dan Fiqah; Akhlak dan Sirah serta Tajwid.

5) Anugerah Gred Purata Sekolah (GPS) tertinggi PSRA 2015 bagi Daerah Gombak.

6) Anugerah Sekolah Terbaik Daerah Gombak bagi peperiksaan Ujian Penilaian Kelas Kafa (UPKK) 2015.

7) Anugerah Sekolah Cemerlang Peringkat Negeri Selangor PSRA 2016.

8) Anugerah GPS tertinggi bagi peperiksaan UPKK 2016.

9) Anugerah Sekolah Terbaik Swasta Bagi UPKK 2017.

10) Anugerah Mata Pelajaran Terbaik Tauhid dan Feqah Bagi PSRA 2018.

11) Anugerah Sekolah Terbaik Swasta PSRA Peringkat Daerah Gombak 2019

12) Anugerah PSRA Mata Pelajaran Terbaik Bahasa Arab Peringkat Daerah Gombak 2019.

13) Anugerah PSRA Mata Pelajaran Terbaik Tajwid Peringkat Daerah Gombak 2019.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok