Sindrom nefrotik bukan penghalang Ilham Ayash terima Anugerah Tokoh Akademik
Menghidap penyakit sindrom nefrotik atau kebocoran buah pinggang tidak menghalang Ilham Ayash Mohd Hazri untuk kekal aktif di sekolah sehingga berjaya dinobatkan sebagai penerima Tokoh Akademik dalam Majlis Graduasi Sekolah Kebangsaan (SK) Kerling, Selangor.
Dia ketika ditemui Sinar Bestari usai sahaja tamat majlis tersenyum manis memegang trofi anugerah yang diterima di samping ibu bapanya.
“Alhamdulillah, ketika diberitahu cikgu saya bakal mendapat anugerah Tokoh Akademik perasaan seronok dan teruja menyelubungi diri.
“Saya bersyukur kerana inilah pencapaian yang saya dapat selepas berusaha dan bertungkus-lumus untuk buat sehabis baik dalam peperiksaan,” ujarnya.
Didiagnos menghidap penyakit itu sejak berusia lima tahun tidak mematahkan semangat anak kedua daripada enam beradik untuk turut aktif dalam kokurikulumnya.
Malah lebih mengejutkan, dia antara murid yang aktif dalam pasukan bola sepak sekolah sehingga terpilih untuk mewakili sekolah ketika berada di Tahun Lima dan Enam.
“Selalunya lepas balik sekolah, saya akan main bola dulu dan akan mengulangkaji pelajaran pada sebelah malam.
“Setakat ini saya okey sahaja sebab sakit dalaman. Cuma perubahan ketara dapat dilihat dekat badan saya contohnya makin berisi dan kurang tinggi berbanding kawan-kawan lain,” tambahnya lagi.
Dalam pada itu, bapanya, Mohd Hazri Abdul Samad mengucapkan syukur di atas anugerah yang diberikan kepada anaknya.
“Alhamdulillah, Ilham Ayash ini anak yang disiplin bukan sahaja di sekolah tetapi juga di rumah contohnya patuh dengan arahan doktor dan sentiasa makan ubat mengikut waktu yang ditetapkan.
“Walaupun ada masa dia sakit dan diberi cuti, dia masih buat latihan yang cikgu bagi atau ulangkaji pelajaran sendiri di rumah.
“Anugerah ini sebagai hadiah untuk dia selepas bersusah-payah dan saya sebagai bapa sangat berpuas hati dengan pencapaian dia pada hari ini,” ujarnya.
Selain itu, menurut ibunya, Lizawati Zainal, dia sentiasa berusaha melakukan yang terbaik terutamanya dalam menyediakan sarapan buat Ilham Ayash sebelum pergi ke sekolah.
“Sebagai ibu, saya akan cuba pastikan dia sarapan di rumah supaya tidak mudah lesu, penat dan boleh fokus dalam pelajaran.
“Sebab saya selalu tekankan dekat dia, akademik dan pelajaran amat penting untuk kehidupan masa depan meskipun dalam keadaan kesihatan yang kurang baik,” jelasnya.
Ilham Ayash antara 26 murid Tahun Enam SK Kerling yang diraikan dalam Majlis Graduasi di Auditorium, Karangkraf, Selangor.
Majlis itu turut meraikan enam murid penerima anugerah utama iaitu Anugerah Tokoh Nilam yang disandang oleh Nur Amiera Idiena, Anugerah Tokoh JQAF disandang oleh Ahmad Faqeh Ahmad Hulaimi dan Anugerah Tokoh Sahsiah diterima oleh Jannati Qaireen Norazimi.
Manakala, Anugerah Tokoh Kokurikulum diberikan kepada Nur Batrisyah Abdullah dan Anugerah Tokoh Murid diberikan kepada Zainal Abidin Hammadi Mohd Hazri.