Kah Woh (empat, kiri) menyampaikan replika cek Peruntukan Penyelenggaraan Tahunan kepada SJKT Klebang.
Kah Woh (empat, kiri) menyampaikan replika cek Peruntukan Penyelenggaraan Tahunan kepada SJKT Klebang.

RM19.09 juta peruntukan penyelenggaraan SJKT tahun ini

23 Aug 2025 10:45pm

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memperuntukkan sebanyak RM19.09 juta bagi tujuan penyelenggaraan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) berstatus Sekolah Bantuan Kerajaan (SBK) di seluruh negara pada tahun ini.

Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, jumlah itu meningkat berbanding RM18.15 juta yang diperuntukkan kepada semua SJKT yang membuat permohonan pada tahun lepas.

"Bagi Perak sahaja, SJKT menerima peruntukan sebanyak RM4.43 juta pada tahun ini, meningkat daripada RM4.13 juta pada 2024.

"Kesemua peruntukan membabitkan SJKT ini juga akan digunakan oleh pihak sekolah dalam membuat penyelenggaraan atau penambahbaikan yang diperlukan oleh sekolah masing-masing," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyampaian Peruntukan Penyelenggaraan Sekolah Bantuan Kerajaan PPD Kinta Utara, Ipoh, Perak. 

Terdahulu, Kah Woh menyampaikan peruntukan berjumlah RM810,000 kepada lapan SJKT di dalam daerah Kinta Utara pada majlis yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional Negeri, A Sivanesan.

Kah Woh berkata, peningkatan jumlah peruntukan kepada SJKT juga membuktikan usaha berterusan kerajaan untuk menambah baik prasarana sekolah agar selamat, kondusif dan selesa digunakan.

"Matlamat kita jelas, iaitu memastikan akses pendidikan sampai kepada semua tanpa mengira latar belakang, aliran dan lokasi.

Artikel Berkaitan:

"Peruntukan ini adalah sebahagian daripada usaha membina masa depan anak-anak kita dengan lebih terjamin," katanya. - Bernama

 

 

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp