Sazali Samad meriahkan Kejohanan Olahraga SK Danau Kota (2)
Kejohanan Olahraga Sukan Tahunan (KOST) Sekolah Kebangsaan (SK) Danau Kota (2), Kuala Lumpur buat kali yang ke-17 ternyata begitu meriah dengan kehadiran atlet bina badan negara, Sazali Abdul Samad.
Temasya sukan tahunan di Kompleks Sukan MSN Setiawangsa, Kuala Lumpur menyaksikan persaingan sengit murid-murid dalam merebut takhta kejuaraan pada tahun ini.
Kejohanan dimulakan dengan perasmian oleh Sazali dan diserikan dengan perarakan masuk setiap pasukan perbarisan rumah sukan yang didahului Pasukan Pancaragam Pusat Rejimen Renjer Diraja (RRD).
“Saya begitu teruja dengan kemeriahan dalam kejohanan ini dan murid-murid begitu bersemangat membutirkan pingat bagi rumah sukan masing-masing,” kata Sazali sejurus merasmikan KOST.
Guru Besar SK Danau Kota (2), Cikgu Hazizan Hussain berkata, KOST adalah kesinambungan mencari atlet-atlet pelapis yang akan mewakili sekolah pada tahun ini.
“Pada tahun lepas sahaja, sekolah kami berjaya melahirkan empat atlet yang layak menyambung pembelajaran di Sekolah Sukan Bukit Jalil, Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail dan juga di Sekolah Sukan Malaysia Pahang,” ujarnya.
Sementara itu, Guru Penolong Kanan Kokurikulum, Cikgu Mazura Abu Bakar berkata, kerjasama yang jitu antara guru-guru dan ibu bapa terutamanya pihak Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) menjadi pencetus kejayaan berlangsungnya kejohanan tersebut dengan penuh gemilang dan lancar.
“Setiap individu memainkan peranan yang penting dalam memastikan sesuatu kejayaan yang holistik dan kerjasama adalah tunjang kepada sesuatu kejayaan yang ingin dicapai,” kata Cikgu Mazura.
Beliau mengakhiri temu bual dengan menyatakan kerjasama semua pihak akan berterusan dan dapat dilaksanakan efisien serta berjaya.
Dalam kejohanan kali ke-17 ini, pasukan rumah kuning dinobatkan selaku johan keseluruhan dan pasukan rumah hijau pula berjaya menggondol johan perbarisan.
Untuk rekod, KOST telah didokumentasikan oleh TV Pusat Sumber Sekolah (PSS) sekolah kendalian krew eLC2 Channel melalui penghasilan video.
Ia boleh ditonton melalui saluran rasmi YouTube Pusat Sumber Ibnu Firnas (TV PSS: eLC2 Channel).