Murid SK Tanah Hitam, Chemor menggunakan mesin pengimbas RFID untuk menggunakan tandas.
Murid SK Tanah Hitam, Chemor menggunakan mesin pengimbas RFID untuk menggunakan tandas.

Sekolah, PIBG kerjasama wujud tandas pintar bagi keselesaan murid

18 Apr 2024 06:00pm

Sekolah Kebangsaan (SK) Tanah Hitam di Chemor, Perak mengambil inisiatif mewujudkan 'tandas pintar' susulan pelaksanaan projek penyelenggaraan tandas sekolah oleh kerajaan.

Guru Besar sekolah, Aslinda Saari berkata, dua tandas di sekolah itu yang telah diselenggara menerusi peruntukan RM70,000 daripada Kementerian Pendidikan dilengkapkan dengan mesin pengimbas pengecaman frekuensi radio (RFID), kamera litar tertutup (CCTV), pili inframerah dan televisyen.

Beliau berkata, kelengkapan tandas itu dibiayai Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah tersebut yang bernilai kira-kira RM3,000.

"Mesin pengimbas RFID digunakan bagi mengutip data murid yang masuk ke tandas manakala pili inframerah membolehkan air keluar apabila tangan dihalakan di bawah pili dan ini dapat menjimatkan penggunaan air berbanding pili biasa," katanya ketika ditemui Bernama.

Aslinda berkata, CCTV pula antaranya bertujuan merakam kejadian tidak diingini seperti buli dan vandalisme sementara video mengenai kebersihan tandas ditayang di televisyen yang dipasang di tandas tersebut.

Beliau turut berkongsi kejayaan sekolah itu sebelum ini yang berjaya menjadi johan 3K iaitu kebersihan, keselamatan dan kesihatan di peringkat negeri Perak dan peringkat kebangsaan pada tahun 2017.

Selain itu, SK Tanah Hitam juga dipilih sebagai johan Pertandingan Tandas 1Malaysia Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) (2017) serta johan Tandas Terbersih KPKT peringkat kebangsaan (2019).

Dalam pada itu, murid tahun tiga, Nur Mirza Zhafrisya Abdul Rahman mengakui berasa bangga dengan tandas sekolahnya yang moden, selesa dan cantik.

Artikel Berkaitan:

"Saya akan jaga tandas supaya bersih dan tidak rosak," katanya.

Untuk rekod, kerajaan telah memperuntukkan RM654.29 juta di bawah projek penyelenggaraan tandas melibatkan 8,354 sekolah dan institusi pendidikan.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp