Muhammad Nasir (tengah) bersama pengurusan sekolah dan guru merakam gambar bersama ibu bapa sempena mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di Dewan Al-Khindi, SK Padang Luas.
Muhammad Nasir (tengah) bersama pengurusan sekolah dan guru merakam gambar bersama ibu bapa sempena mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di Dewan Al-Khindi, SK Padang Luas.

SK Padang Luas wujudkan laman surat khabar galak murid membaca

NORHASPIDA YATIM
08 Jun 2024 08:00am
A
A
A

Guru Sekolah Kebangsaan (SK) Padang Luas di sini mengambil inisiatif mewujudkan laman surat khabar dan bacaan di pekarangan sekolah bagi menggalak tabiat membaca dalam kalangan murid.

Guru Perpustakaan dan Media, Siti Zaleha Ali berkata, usaha yang dimulakan sejak pembukaan sesi persekolahan pada Mac lalu selaras dengan saranan Kementerian Pendidikan (KPM) bagi melahirkan generasi bermaklumat.

Menurutnya, laman berkenaan disediakan kepada semua murid untuk dimanfaatkan pada waktu terluang terutama pada waktu rehat dan sementara menunggu ibu bapa menjemput pulang selepas tamat sesi persekolahan.

"Mana-mana murid yang berkelapangan terutama murid-murid daripada kelas pemulihan digalakkan untuk ke laman ini kerana di sini kita menyediakan akhbar untuk bacaan mereka pada setiap hari.

"Pihak sekolah mengambil inisiatif sendiri membeli surat khabar sebelum semua sekolah menerima tajaan berbentuk langganan akhbar daripada pihak kementerian bermula Mei lalu," katanya ketika ditemui Sinar Harian, di sini pada Jumaat.

Terdahulu, SK Padang Luas mengadakan mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di Dewan Al-Khindi yang dihadiri oleh Guru Besar, Zuhaidi Othman dan disempurnakan oleh Penasihat Bersama Kumpulan Karangkraf, Datuk Muhammad Nasir Hamzah.

Muhammad Nasir turut meluangkan masa melawat laman akhbar dan bacaan di sekolah tersebut diiringi Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) Sektor Pembelajaran, Zuraidi Wahid; Guru Penolong Kanan (GPK)Pentadbiran, Wan Zulkifli Wan Ahmad; GPK Hal Ehwal Murid, Syed Zamri Syed Md Zain; GPK Kokurikulum, Wan Norezamani Wan Mohd Nor dan GPK Kaunseling, Mahani Ab Hamid.

Dalam pada itu, Siti Zaleha berkata, laman bacaan tersebut akan turut memuatkan bahan bacaan ringan bagi menarik lebih ramai murid untuk meluangkan masa membaca.

Selain itu, katanya, ruangan itu juga memberi peluang kepada murid untuk menambah pengisian rekod bacaan melalui aplikasi Advance Integrated Nilam System (AINS) yang akan diperkenalkan kepada mereka.

"Terbaharu pihak sekolah akan memperkenalkan kepada murid mengenai peluncuran rekod bacaan melalui aplikasi AINS untuk Program Buku Nilam sekolah di mana kita boleh lihat pembaca terbanyak.

"Secara tidak langsung selain mengetahui perkembangan isu semasa murid juga berlumba-lumba secara sihat bersama rakan mereka untuk membaca," katanya.

Jelasnya, generasi kini cenderung dengan teknologi dan lebih akrab dengan penggunaan Internet serta media sosial, sehingga mereka lebih memilih untuk mengakses maklumat melalui platform digital.

"Kita tahu tidak semua kandungan di media sosial dan Internet boleh dipercayai, sebab itu penting bagi murid untuk membaca melalui akhbar untuk mendapatkan maklumat yang tepat," ujarnya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok