YB sumbang meja, kerusi dapat pujian netizen
"They sit on the floor to eat! (Mereka duduk di atas lantai untuk makan!)
“Budak-budak duduk lantai?
“Atas lantai untuk makan?
Itulah reaksi terkejut Ahli Parlimen Puchong, Selangor, Yeo Bee Yin dalam video berdurasi 25 saat yang dimuat naik di aplikasi TikToknya, baru-baru ini.
Video yang memaparkan lawatan Bee Yin ke kantin Sekolah Kebangsaan (SK) Puchong Utama 1, Puchong, Selangor memperlihatkan keadaan kantin yang kekurangan meja dan kerusi untuk murid-murid duduk ketika waktu rehat.
Menjelaskan perkara itu, wakil guru tampil memberi jawapan, seperti dipetik dalam video terbabit.
“Sekali rehat 300 orang.
“Cukupkah 300?
“So kena duduk kat sinilah ramai-ramai.
Demikian pencerahan wakil guru kepada Bee Yin terhadap masalah dihadapi mereka.
Susulan perkara itu, Bee Yin tampil memberi sumbangan berupa meja dan kerusi baru untuk ditempatkan di kantin sekolah.
Sumbangan yang diagih dua minggu selepas video dirakam, membuatkan seluruh netizen yang menonton video itu kagum sekali gus memuji inisiatif Ahli Parlimen Puchong ini.
"Jangan risau, Kak Bee Yin akan pastikan kebajikan anak-anak di Puchong akan terjaga,” tulisnya di kapsyen atau sari kata dalam video TikTok.
Kepada Yang Berhormat (YB) Bee Yin, Sinar Bestari salute dengan usaha anda.
Terima kasih kerana membantu SK Puchong Utama 1. Sekurang-kurangnya, murid-murid dapat makan dengan selesa di kantin sekolah nanti.