34 pelajar MRSM Kota Kinabalu diberi pendedahan operasi KKIA, peluang kerjaya industri penerbangan
Seramai 34 pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kota Kinabalu, Sabah diberi pendedahan mengenai operasi Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) menerusi program 'MYAirportCares School' anjuran Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB).
Pengurus Kanan KKIA, Jefry Rami berkata, program tanggungjawab sosial korporat (CSR) MAHB itu adalah untuk memberi pendedahan kepada pelajar terutama yang berada berhampiran dengan lapangan terbang.
"Kita berkolaborasi dengan syarikat penerbangan supaya dapat bawa pelajar ini naik ke pesawat dan setakat ini kita sudah buat dua kali pada tahun ini iaitu melibatkan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Petagas dan sekarang bersama MRSM Kota Kinabalu.
"Kita mahu pelajar ini merasai sendiri bagaimana keadaan di dalam lapangan terbang yang selama ini dilihat dari luar sahaja seperti pesawat tetapi mereka tidak nampak apa yang berlaku di dalam dan juga peluang pekerjaan yang ada dalam industri ini," katanya pada Jumaat.
Ujarnya lagi, dalam lawatan itu pelajar boleh menentukan kerjaya yang mereka boleh ceburi dalam industri penerbangan atau di lapangan terbang selepas tamat persekolahan nanti.
"Saya lihat respons pelajar amat mengalakkan, mereka gembira kerana pelbagai pendedahan diberikan sebab tidak pernah berada di dalam kawasan operasi lapangan terbang termasuk wujudnya balai bomba.
"Kita juga beri peluang kepada mereka untuk memadamkan kebakaran jika berlaku kecemasan di dalam lapangan terbang dan inilah peluang mereka untuk melihat pekerjaan yang ada di sini," katanya.
Jefry berkata, pihaknya juga berharap program itu akan diteruskan di masa akan datang supaya lebih ramai pelajar diberi pendedahan dengan industri tersebut.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia Datuk Kapten Fareh Mazputra berkata, program bertujuan untuk memperkukuh komitmen syarikat tersebut terhadap pembangunan komuniti dan pendidikan.
"Ia juga bertujuan menawarkan pengalaman pendidikan unik kepada pelajar berkaitan perjalanan udara dan memupuk minat serta meluaskan cita-cita mereka dalam bidang penerbangan.
"Pelajar dan guru berpeluang untuk merasai pengalaman operasi di sebalik tabir di hab kedua terbesar AirAsia di negara ini di mana antara aktiviti yang diadakan seperti simulasi daftar masuk dan perlepasan, melawat pesawat serta pengenalan kepada Perkhidmatan Bomba dan Menyelamat Lapangan Terbang (AFRS)," katanya.