Afiq Daniel menang PRK Bainun, dilantik ketua umum
Calon Parti Bugatti, Muhammad Afiq Daniel Baharuddin mencipta sejarah apabila memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) N.2045 Bainun yang julung kali diadakan bagi memilih Ketua Umum Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Raja Permaisuri Bainun, Perak pada Jumaat.
Keputusan PRK itu diumumkan oleh Pengetua SMK Raja Permaisuri Bainun, Datin Khalilah Za'aba selepas Pelajar Tingkatan 4 Rho tersebut memperoleh 56 peratus undian mengatasi lima calon lain yang bersaing merebut jawatan berkenaan.
Simulasi pilihan raya yang mendapat kerjasama Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Perak itu, dianjurkan Panitia Sejarah dengan kerjasama Unit Pengawas sekolah berkenaan bermula 3 Oktober lalu, dengan sesi Penamaan Calon diikuti kempen selama tiga hari bermula 7 Oktober, seterusnya hari pengundian pada Jumaat.
Pada pilihan raya itu, seramai 562 pengundi berdaftar yang layak melibatkan seramai 154 pengundi awal terdiri daripada guru serta petugas, manakala 407 pengundi biasa dalam kalangan pelajar serta satu undi pos iaitu guru cuti sakit.
Khalilah yang ditemui pemberita berkata, tujuan program simulasi itu diadakan bagi meningkatkan kefahaman pelajar mengenai sistem demokrasi melalui pilihan raya di Malaysia kerana ia merupakan salah satu bab dalam silibus Sejarah Tingkatan 4.
Menurutnya, inisiatif ini bermula menerusi Program Kecemerlangan Tingkatan 4 yang diatur pihak sekolah berdasarkan keputusan peperiksaan pertengahan tahun.
Jelasnya, atas nasihat serta bantuan daripada SPR Perak dan sokongan daripada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), simulasi pilihan raya itu dapat dilaksanakan dengan jayanya.
"Sebenarnya, saya nak supaya pelajar mempelajari bagaimana satu PBL (Problem Based Learning) yang mana mereka dapat menganalisis sesuatu itu dengan dunia nyata. Jadi mereka tahu bagaimana cara memangkah, berkempen, tatacara berkempen, jangan sentuh isu 3R, hendak membuat manifesto.
"Jadi manifesto pun dibuat, mereka kena melaksanakan kajian sikap, bagaimana anak-anak di Bainun (SMK Raja Permaisuri Bainun) ini nakkan apa. Kemudian daripada data itu bagaimana mereka terjemahkan, nak menarik perhatian pengundi dan berkempen.
"Saya rasa program ini meliputi semua subjek apa yang mereka belajar sebab ada pengiraan undi, ada menggunakan bahasa Melayu dan ada juga kita buat kempen dalam bahasa Inggeris," katanya.
Persiapan sebagai pengundi
Khalilah berkata, simulasi yang dijalankan juga bertujuan melahirkan warganegara bertanggungjawab sebagai pengundi dan memilih pemimpin yang baik pada masa akan datang tambahan selepas berusia 18 tahun mereka sudah boleh mengundi.
Sementara itu, seorang pelajar, Muhammad Zahirul Irfan Mohd Yaacob, 17, yang ditemui turut teruja dengan pengalaman pertamanya sebagai pengundi dan petugas bagi pilihan raya berkenaan.
Menurutnya, program seperti itu sesuatu yang amat bermakna terutama dalam memahami bab pilihan raya dalam subjek Sejarah.
"Untuk PRK ini, saya ditugaskan sebagai pemantau dan apa yang saya lihat calon-calon memahami tugas masing-masing malah mereka berkempen secara positif serta pandai menarik perhatian pengundi.
"Program seperti ini sangat memberi impak kepada pelajar dalam memahami demokrasi di negara ini selain sebagai persediaan kepada kami yang akan mengundi apabila berusia 18 tahun nanti," katanya.