Airit Rayyan memperoleh pointer yang tinggi, sekali gus melayakkannya mendapat Anugerah Pengetua MRSM Gemencheh.
Airit Rayyan memperoleh pointer yang tinggi, sekali gus melayakkannya mendapat Anugerah Pengetua MRSM Gemencheh.

Airit Rayyan raih Anugerah Pengetua MRSM Gemencheh. Luahan hati si ibu, Rita Rudaini undang sebak!

ROSHLAWATY MD RAIEHROSHLAWATY MD RAIEH
12 Apr 2023 03:05pm

Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) telah melahirkan ramai pelajar-pelajar yang cemerlang sekali gus menjadi pilihan pelajar lain untuk menyambung pembelajaran peringkat sekolah menengah di sini.

Nama-nama besar seperti Noor Neelofa Mohd Noor atau Neelofa (MRSM Langkawi, Kedah); Nurul Janna Muner atau Janna Nick (MRSM Pendang, Kedah); Malique Too Phat (MRSM Taiping, Perak) dan ramai lagi adalah antara produk kelahiran MRSM yang telah mencipta kejayaan dalam bidang masing-masing.

Kecemerlangan mereka ini membuktikan pelajar MRSM sememangnya bukan calang-calang.

Terbaharu, seorang lagi produk kelahiran MRSM iaitu Airit Rayyan Rizqin, 14, dinobatkan penerima Anugerah Pengetua di MRSM Gemencheh, Negeri Sembilan.

Dia yang merupakan anak sulung kepada pelakon tersohor, Rita Rudaini Mokhtar telah memperoleh markah tinggi dalam Purata Nilaian Gred (PNG) sekali gus terpilih merangkul anugerah tertinggi yang menjadi idaman setiap pelajar MRSM.

Rita Rudaini menerusi hantaran di Instagram berkata, kejayaan anaknya itu adalah sebagai hadiah ulang tahun kelahirannya.

“Tahun lepas hari lahir mommy, Ryan bagi hadiah dapat tempatkan diri di MRSM. Tahun ini Ryan bagi hadiah lagi. Dapat Anugerah Pengetua dengan pointer tinggi.

“Syukur alhamdulillah, mommy tidak minta lebih cuma hendak anak-anak buktikan pada diri sendiri dan kepada orang di luar sana yang kita mampu berjaya. Pedulikan cemuhan dan kejian manusia kerana ALLAH sentiasa ada untuk kita.

Artikel Berkaitan:

“Jadi terbaik untuk diri sendiri bukan untuk puaskan hati orang lain. Terima kasih ALLAH kerana hadiahkan rezeki anak-anak yang baik untukku. Sudah memadai. Rezeki Ramadan,” tulis Rita di media sosialnya.

Sementara itu, Ryan yang merupakan abang kepada Airit Qaqa Arjuna turut melahirkan penghargaan kepada ibunya melalui satu rakaman video.

“Assalamualaikum mommy. Happy birthday mommy. Ini hadiah Ryan untuk mommy. Ryan doakan semoga mommy panjang umur dan murah rezeki,” ujarnya.

Kami di Sinar Bestari mengucapkan tahniah atas usaha gigih yang dilakukan oleh Ryan. Semoga terus maju jaya pada masa akan datang.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp