Aktif sukan bola tampar tidak halang capai straight A
Mohamad Al-Fariz buktikan keseimbangan dua bidang yang diceburi mampu raih keputusan cemerlang
"Latihan bola tampar dan belajar sama sekali tidak mengganggu jadual saya dan keputusan straight A ini adalah bukti yang saya mampu mencapai kejayaan tertinggi sebagai permulaan kehidupan baharu.” Itulah kata-kata yang diucapkan penerima keputusan cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022, Mohamad Al-Fariz Mirza Mohamad Ajid.
Ditemui Sinar Bestari pada Majlis Penyerahan Keputusan SPM 2022 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seksyen 18, Shah Alam, Selangor, baru-baru ini, ternyata anak muda ini tidak dapat menyembunyikan perasaan gembira dan terujanya memegang sijil keputusan semua A yang diterima.
Mengambil aliran Sains Tulen, dia tidak menyangka dapat mencapai keputusan cemerlang memandangkan soalan peperiksaan boleh dikatakan agak mencabar dan susah.
Kata Mohamad Al-Fariz lagi, dia bukan sahaja berdepan cabaran dengan soalan peperiksaan malah dia juga perlu bijak membahagikan masa antara belajar dan latihan sukan bola tampar yang diceburinya.
Dia yang aktif dalam sukan itu sejak di Tingkatan Tiga memberitahu, impiannya untuk menjadi salah seorang pemain negara turut disokong oleh bapanya yang sentiasa memberikan semangat dan nasihat.
“Ayah bukan seorang pemain bola tampar tetapi dia selalu memberi nasihat untuk bijak bahagikan masa memandangkan saya masih bergelar pelajar.
“Antara nasihat yang sering dikongsi ialah berikan tumpuan 100 peratus baik kepada pelajaran mahupun latihan.
“Ia sedikit sebanyak membantu saya untuk cemerlang dalam kedua-dua bidang yang diceburi,” ujarnya.
Anak kedua daripada lima beradik itu turut memaklumkan, dia akan melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi dalam bidang Sains Aktuari selain terus bergiat aktif dalam bola tampar demi mencapai cita-citanya mewakili negara satu hari nanti.
Sebagai seorang pelajar cemerlang, Mohamad Al-Fariz turut berkongsi beberapa tip berguna dengan pembaca Sinar Bestari.
Tip pelajar cemerlang.
1) Teknik Pomodoro
Teknik ini merupakan salah satu kaedah yang efektif dan fleksibel dalam membantu pelajar mengulang kaji pelajaran.
Ia digunakan dengan membahagikan masa atau tempoh ulang kaji berselang-seli dengan waktu rehat.
Selalunya, teknik ini menggunakan formula 25 minit mengulang kaji diikuti dengan 5 minit tempoh rehat dan diulang sebanyak empat kali selama 2 jam.
Lebih menarik, teknik Pomodoro dilihat dapat membantu meningkatkan produktiviti seorang pelajar selain meningkatkan tumpuan dan fokus.
2) Jangan terlalu stres
Sebagai seorang pelajar, stres dan tekanan tidak dapat dielakkan lebih-lebih lagi menjelang beberapa hari sebelum peperiksaan besar.
Untuk itu, pelajar-pelajar perlu mencari aktiviti yang boleh membantu mengurangkan tekanan yang dihadapi.
Contohnya, bermain permainan video bersama rakan-rakan namun janganlah sampai terlajak bermain!
3) Berikan tumpuan 100 peratus
Tumpuan dan fokus sangat penting dalam melakukan sesuatu perkara sekiranya ingin mencapai sesebuah kejayaan.
Justeru itu, ketika belajar berikan tumpuan 100 peratus tanpa memikirkan perkara-perkara lain dan begitulah sebaliknya.
Ini akan membantu pelajar untuk lebih bersemangat dalam setiap perkara yang diceburi.
4) Penjagaan makanan
Sebagai seorang pemain bola tampar dan juga pelajar, diet pemakanan termasuk dalam kategori penting untuk dijaga.
Dalam aspek ini, melakukan intermittent fasting (IF) dapat membantu seseorang pelajar kekal fokus dan bertenaga ketika belajar.
IF adalah salah satu cara tidak makan untuk beberapa tempoh. Selain itu, turut disarankan untuk mengawasi pengambilan makanan yang lebih sihat dan berkhasiat
5) Amalkan solat sunat
Selain solat wajib lima waktu sehari, digalakkan juga untuk mengamalkan solat-solat sunat bagi memohon pertolongan ALLAH SWT.
Antara solat sunat yang boleh dilakukan adalah solat tahajud diikuti dengan mengulang kaji di awal pagi.